Oleh : Norhafizan Zulkifli & Aisyah Abdul Manan
Foto : Farizul Hafuz Awang
KUANTAN, 17 OKTOBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang berpuas hati dengan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2025 di negeri ini yang menunjukkan tahap pematuhan tinggi dalam kalangan peniaga terhadap harga kawalan yang ditetapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB Tuan Sim Chon Siang, berkata hasil tinjauan di Pasaraya Fresh Choice, Taman Tas hari ini mendapati harga barangan keperluan utama, termasuk daging kambing biri-biri bertulang import dijual mengikut harga maksimum yang telah ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menurutnya, skim berkenaan berkuat kuasa selama tujuh hari bermula semalam sehingga 22 Oktober ini meliputi empat hari sebelum perayaan, satu hari semasa dan dua hari selepas sambutan Deepavali.
“Semalam saya pantau dekat Lipis dan Rompin dan setakat ini saya berpuas hati. Tiada masalah sebab kita baru pantau dua hari, lagi lima hari,” katanya dalam sidang media selepas melakukan tinjauan bersama pegawai KPDN Pahang di sini hari ini.
Tambahnya, sembilan jenis barangan dikawal harga sempena perayaan tahun ini berbanding lapan jenis pada tahun lalu.
Antara barangan tersebut ialah daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, bawang merah kecil India, bawang merah kecil India (Ros), bawang merah besar import, kacang dal dari Australia, kelapa biji (di peringkat borong) dan kelapa parut (di peringkat runcit).
“Penentuan harga dibuat setelah mengambil kira pandangan daripada agensi-agensi Kerajaan dan pemain-pemain industri. Harga maksimum di peringkat pemborong dan peruncit yang telah ditetapkan bagi Skim kali ini boleh disemak melalui laman web KPDN di www.kpdn.gov.my.
“Dalam tempoh pelaksaan SHMMP Deepavali 2025, barangan yang terlibat akan dilabelkan dengan tanda harga berwarna merah jambu bagi memudahkan pengguna mengenal pasti barangan yang dikawal di bawah skim ini,” ujarnya.
Beliau dalam masa sama menegaskan bahawa beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang gagal mematuhi harga maksimum atau tidak mempamerkan tanda harga merah jambu seperti diarahkan, di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“KPDN turut meningkatkan kehadiran pegawai-pegawai penguat kuasa di lokasi-lokasi terpilih dan strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah sempena musim perayaan ini.
“Langkah ini diambil bagi memastikan pemantauan serta pelaksanaan Skim dapat dijalankan dengan lebih berkesan,” katanya lagi.
YB Tuan Sim turut menyeru orang ramai menyalurkan sebarang aduan berkaitan pelanggaran skim ini melalui portal e-aduan@kpdn.gov.my, talian 1800-886-800, aplikasi Ez ADU, atau hadir ke mana-mana pejabat KPDN di seluruh Pahang. -PAHANGMEDIA