Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
PEKAN, 03 OKTOBER 2025 : Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang sebanyak RM 85,400 beri tumpuan awal kepada tiga kategori utama iaitu pendidikan, perubatan dan bencana.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, sumbangan ini selari dengan hasrat YAB. Menteri Besar Pahang.
“Seperti dimaklumkan tadi, sumbangan cek pada hari ini terdiri daripada tiga kategori iaitu pendidikan, perubatan dan bencana. YAB Menteri Besar Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail telah mengarahkan kita utamakan tiga kategori ini dulu.
“Saya bersyukur berkhidmat dibawah satu pentadbiran YAB Menteri Besar Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail merupakan seorang pemimpin yang cakna kepada rakyat, pandai uruskan kewangan dan pandai cari dana. Beliau telah sedaya upaya untuk memastikan supaya tidak ada ketirisan dalam operasi dan pembelanjaan Kerajaan Negeri Pahang.
“Dengan apa yang Kerajaan Negeri Pahang dapat simpan, kumpul dan naikkan pendapatan kita akan pulang semula kepada rakyat Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang di Kediaman Seri Kenangan, hari ini.
Dalam pada itu beliau turut mengingatkan kepada rakyat agar menggunakan bantuan ini dengan penuh bertanggungjawab.
“Saya harap tuan-tuan dan puan-puan dapat belanja secara berhemah sebab bukan mudah untuk kita dapatkan peruntukan ini untuk bantu rakyat dan rezeki Allah SWT yang diberi ini gunakanlah sebaik-baiknya,” katanya. -PAHANGMEDIA