Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 3 OKTOBER 2025 : Kira-kira 2,000 rakyat Pahang berhimpun di Masjid Negeri 1 Sultan Ahmad Shah di sini bagi menyatakan solidariti terhadap aktivis kemanusiaan Misi Sumud Nusantara yang ditahan rejim Zionis Israel semalam.
Perhimpunan anjuran Majlis Belia Negeri Pahang dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Sukarelawan Sosial Anak Pahang, Suara Anak Pahang dan Gabungan Gerakan Belia 4B Malaysia Negeri Pahang itu berlangsung selepas solat Jumaat sebagai manifestasi kebersamaan rakyat negeri ini bersama perjuangan rakyat Palestin.
Setiausaha Agung Majlis Belia Pahang, Encik Nabil Fiqri Nor Azmi berkata, himpunan itu berjaya mengumpulkan suara rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam mendesak pembebasan aktivis yang ditahan.
“Gerakan yang kita buat bermula daripada tengah hari semalam. Gerakan yang kita buat dengan jalinan kerjasama daripada NGO-NGO ini kerana kita rasa tidak perlu lagi kita tunggu.
“Tindakan dangkal telah dilakukan jadi kita terpaksa bergerak walaupun dengan bilangan yang kecil tetapi suara kita harus didengar oleh mereka di luar sana,” katanya ketika ditemui selepas perhimpunan berkenaan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Unit Komunikasi Strategik Negeri Pahang, Tuan Haji Khairul Anwar Dato’ Ahmad Nadzer selaku wakil media beliau menegaskan perhimpunan itu bukan atas dasar bangsa atau trend, sebaliknya kerana persaudaraan sesama umat Islam.
“Hari ini, kita berkumpul atas dasar persaudaraan kita dengan orang-orang Palestin. Dan kita juga harus tunjukkan kebersamaan kita dalam menuntut kebebasan kawan-kawan, saudara mara kita dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF). Hari ini di bumi Pahang kita isytiharkan puak Zionis ini adalah sebagai puak paling penakut dalam dunia.
“Hari ini kita membawa mesej untuk mendesak PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) terutamanya untuk bersama kita. Sebab apa yang dilakukan oleh Zionis ini adalah telah melanggar resolusi 2720 Majlis Keselamatan PBB iaitu apabila ada misi kemanusiaan sepatutnya harus kita beri ruang dan pastikan ia selamat,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan sokongan terhadap usaha YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Anwar Ibrahim yang berterusan memperjuangkan nasib rakyat Palestin di peringkat antarabangsa.
Perhimpunan di Kuantan itu turut berlangsung serentak dengan himpunan solidariti di daerah lain seperti di Rompin dan Maran serta di Kuala Lumpur dan beberapa negeri lain di seluruh negara.-PAHANGMEDIA