Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 03 OKTOBER 2025 : Tiada isu berlaku gangguan terputus bekalan petrol di Kuala Tahan seperti dilaporkan media pada 1 Oktober lepas.
Menurut satu kenyataan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB. Tuan Sim Chon Siang, ini memandangkan penghantaran bekalan petrol telah dilakukan pada hari yang sama.
“Kuala Tahan dilaporkan mengalami gangguan bekalan petrol pada 1 Oktober 2025 seperti mana yang dilaporkan oleh sebuah media tempatan.
“Semakan mendapati bahawa bekalan petrol telah kembali seperti sediakala apabila pihak transporter yang dilantik KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri) membuat penghantaran bekalan petrol pada hari yang sama.
“Tiada isu bekalan petrol terputus. Cuma, sedikit kekeliruan harga petrol apabila penyasaran subsidi petrol dilaksanakan pada 30 September 2025 lalu,” katanya.
Tambah beliau, kawasan Kuala Tahan merupakan salah satu zon di bawah Program Pengedaran Barang Perlu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN). -PAHANGMEDIA