Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 19 MEI 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat menghadiri Simposium International Council of Museum Asia Pacific (ICOM-ASPAC) yang berlangsung di Kutubkhanah Diraja, Kompleks Muzium Diraja Sultan Haji Ahmad, hari ini.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang tiba pada pukul 9.20 pagi itu diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib.
Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang bertitah, muzium memainkan peranan penting dalam mengembalikan keseimbangan sejarah selain memperkukuhkan semula identiti dan warisan sesuatu bangsa.
“Mendekolonisasikan muzium bukan sekadar membuang naratif kolonial, tetapi mengembalikan suara pribumi, tradisi intelektual, dan memori ketamadunan ke tempat yang sewajarnya. Ia adalah tentang membolehkan sesuatu bangsa kembali berbicara dengan suaranya sendiri,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda turut bertitah bahawa muzium bukan sekadar tempat penyimpanan artifak malah ianya sebagai medium menzahirkan makna sejarah.

“Muzium bukan sekadar memelihara artifak, ia menyingkap, menyampaikan, dan menguniversalkan makna, membolehkan kisah, kebijaksanaan, dan tamadun manusia berbicara merentas generasi dan kepada dunia yang lebih luas. Muzium juga adalah tentang penentangan terhadap kuasa dominan, kolonialisme, dan imperialisme.
“Muzium Pahang, tidak seperti muzium-muzium lain di Malaysia, akan menjadi platform penentangan terhadap kolonialisme dalam naratifnya, sementara muzium lain masih berada di bawah bayang-bayang kolonialisme,” titah baginda.
Pada program tersebut, Kebawah Duli Paduka Baginda turut berkenan menghadiri empat sesi utama yang dibentangkan sepanjang simposium berkenaan.
Simposium ICOM-ASPAC itu menghimpunkan penggiat industri permuziuman, penyelidik serta pakar warisan dari rantau Asia Pasifik bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan pemeliharaan dan pengurusan warisan budaya.
Antara fokus utama yang diketengahkan ialah kesan Definisi Muzium 2022 terhadap polisi dan amalan kerja muzium di rantau Asia-Pasifik, impak perubahan iklim ekstrem serta konflik politik terhadap tapak warisan dan muzium, mekanisme pemuliharaan koleksi muzium yang terancam akibat faktor alam sekitar dan piawaian dalam mengekalkan dan menghormati kepelbagaian komuniti setempat. -PAHANGMEDIA

