Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
RAUB, 24 SEPTEMBER 2025 : Seramai 31 pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Falah Batu Talam, di sini, yang akan menduduki SPM tahun ini menerima bantuan berupa buku rujukan dan buku latihan di bawah Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) hari ini.
Pemberian terbabit disampaikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika sesi lawatan beliau ke sekolah berkenaan bersempena siri Jelajah Aspirasj Pahang 1st Daerah Raub, hari ini.
Selain itu beliau turut mengumumkan pemberian sumbangan sebanyak RM10,000 sebagai tanda penghargaan kepada pihak sekolah bersempena kunjungan berkenaan.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy mengingatkan agar pemberian sumbangan yang disalurkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk kegunaan pendidikan pelajar sekolah terbabit.
Lawatan berkenaan turut disertai YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh dan barisan ketua-ketua jabatan dan pimpinan setempat.
Beliau dalam lawatan berkenaan itu juga turut menerima beberapa permohonan peruntukan daripada pihak sekolah yang telah dipanjangkan kepada Bahagian Kewangan Negeri untuk diteliti dan dipertimbangkan.
Siri Jelajah Aspirasi Pahang 1st Daerah Raub turut merangkumi lawatan ke Loji Rawatan Air Semantan serta sesi minum petang bersama penduduk Kampung Batu Talam di Gerai JKKK.
Menariknya, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut tidak melepaskan peluang menyertai permainan dam haji bersama masyarakat setempat.
Untuk rekod, siri Jelajah Aspirasi Pahang 1st ini merupakan siri ketiga selepas penganjurannya di Kuantan dan Bentong.-PAHANGMEDIA