Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Khairul Azrin Holed
RAUB, 25 SEPTEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang akan memasukkan cadangan senarai bagi pembinaan gelanggang futsal di Kampung Kundang Patah pada tahun hadapan bagi memenuhi keperluan penduduk setempat termasuk kampung sekitar.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, pembinaan gelanggang ini memandangkan kemudahan terdekat berada jauh daripada kawasan kampung.
“…kita akan berbincang dengan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang untuk memasukkan cadangan senarai untuk pembinaan gelanggang futsal pada tahun hadapan.
“Mungkin ia mengambil masa sikit sebab memang dapat banyak sangat permintaan serta cadangan pembinaan cadangan gelanggang futsal seluruh Negeri Pahang dan bajet kita atau peruntukan daripada Kementerian Belia dan Sukan itu agak terhad tapi insya Allah kita cuba bagi priority disini.
“Saya tengok tadi mungkin kat sini kurang sikit dari segi kemudahan sukan, mungkin nak main futsal paling dekat mereka ke Felda Tersang atau di Bandar Raub atau ke Kompleks Sukan Dong. Maknanya agak jauh la kalau nak bermain futsal. Jadi memang cadangan ini amat baik, jadi Kerajaan Negeri akan berbincang bersama Kementerian Belia dan Sukan,” katanya.
Tambah beliau, selain pembinaan gelanggang futsal, Kerajaan Negeri juga akan meninjau keperluan lain yang diperlukan oleh penduduk setempat bagi menggalakkan aktiviti sukan.
“Dan insya Allah selain daripada itu Kerajaan Negeri juga akan tengok keperluan-keperluan lain kursus untuk anak muda. Di Negeri Pahang ini memang kita nak galakkan orang muda untuk kekal sihat melalui penglibatan aktiviti dalam bidang sukan.
“Selain Kampung Kundang Patah ini saya telah berjumpa dengan penduduk Kampung Gesing yang ada permintaan dari segi hendak baik pulih padang dan sebagainya. Jadi kita tengok mana keperluan yang dapat kita bantu, kita cuba bantu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat gelanggang futsal di Kampung Kundang Patah sebelum beramah mesra dengan penduduk kampung melalui pertandingan sukan rakyat seperti congkak dan karom serta senaman di Dewan Terbuka Tasik Ria. -PAHANGMEDIA