Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 24 SEPTEMBER 2025 : Seramai 60 pelajar dari negeri ini yang melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir menerima sumbangan Kerajaan Negeri Pahang melalui Yayasan Pahang berjumlah RM2,000 seorang dengan keseluruhan peruntukan bernilai RM120,000.
Daripada jumlah itu, 45 penerima adalah pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) sekolah di bawah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), empat pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) dan 11 pelajar Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS).
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan itu bukan sahaja membanggakan, malah membuktikan kejayaan ibu bapa dalam mendidik anak-anak hingga berjaya menyambung pengajian ke luar negara.
“Sebelum tu, saya mengucapkan tahniah kepada anak-anak seramai 45 orang yang dapat melanjutkan pelajaran. Dan juga tahniah kepada ibu bapa kerana berjaya mendidik anak-anak sampai dapat belajar ke luar negara. Dan bukan semua yang dapat peluang macam ni,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan berkenaan di perkarangan Majlis Daerah Raub, di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib dan Pengarah JAIP, YH. Dato’ Haji Ahmad Khirrizal Ab Rahman.
YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menitikberatkan soal pendidikan, malah pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan anak-anak Pahang mendapat peluang terbaik.
“Tuan-tuan, saya nak bagi tahu kepada ibu bapa, anak-anak sekalian, bahawa Kerajaan Negeri Pahang ini, tuan-tuan dan puan-puan dapat menyaksikan sendiri bahawasanya kita sangat mengambil berat pendidikan.
“Jadi, kepada anak-anak semua, jangan lupa mendoakan Kerajaan Negeri, rakyat negeri Pahang, negeri kita supaya aman makmur, stabil, dijauhkan daripada bala petaka.
“Bila negeri aman makmur, kestabilan kewangan ada, kestabilan politik ada, kita boleh bagi tumpuan untuk memastikan rakyat negeri Pahang ni terus maju ke depan,” katanya.
Beliau menambah, peluang melanjutkan pengajian di Mesir adalah sesuatu yang amat bernilai kerana tidak semua berpeluang ke sana.
“Gunakan sebaiknya masa yang ada kerana kita ini hidup sekali saja. Peluang yang ada sekarang ni sangat baik. Dapat belajar di tempat yang baik yang ramai orang tak dapat. Yang nak pergi tapi ramai yang tak dapat pergi. Ada yang bergolok gadai sebenarnya nak pergi… nak belajar di universiti Mesir,” katanya.
Beliau dalam masa sama turut menasihati pelajar agar menghargai ibu bapa dan sentiasa menjaga hubungan kekeluargaan meskipun sedang menuntut di luar negara.
“Jadi, kepada anak-anak semua, belajar rajin-rajin. Jangan lupa mak ayah di kawasan. Kita dah ada sistem komunikasi yang canggih sekarang ni. Hantar mesej, tanya khabar.
“Kalau ada masa cuti, ada duit, balik. Ustaz Tok Wan bagi tahu, selagi ada mak dengan ayah, esok bila dah kerja esoklah, mesti balik beraya dengan mak dengan ayah,” katanya. -PAHANGMEDIA