Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
PEKAN, 23 SEPTEMBER 2025 : Penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di Pahang berkemungkinan menerima saguhati khas atau token apabila Kerajaan Negeri kini sedang meneliti cadangan pemberiannya.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu masih dalam peringkat kajian dan belum ada keputusan muktamad namun langkah tersebut sebagai tanda menghargai khidmat bakti mereka di negeri ini.
“Nak bagi semua jabatan yang penjawat awam daripada federal, Kerajaan Negeri tak mampu.
“Tetapi Kerajaan Negeri akan memikirkan belum ada keputusan muktamad tapi kita akan fikir mungkin (pendapatan) RM3,000 ke bawah, kita bagi sikit token. Sama ada RM200 ataupun RM300.
“Tengok kepada simulasi yang akan dikemukakan kepada saya. Sekarang ni pihak Bahagian Kewangan Negeri Pahang sedang mengkaji, melihat berapa ramai yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2025 Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur di Dataran Pekan Bandar Diraja di sini, hari ini.
Majlis turut dihadiri YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal dan barisan ketua-ketua jabatan.
Menurut YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy, Kerajaan Negeri sebelum ini pernah menyalurkan bantuan khas kepada profesional kesihatan terutama doktor Kementerian Kesihatan semasa pandemik COVID-19 sebagai pengiktirafan kepada pengorbanan mereka.
Mengulas mengenai Bantuan Khas Kewangan untuk penjawat awam negeri pula, beliau menegaskan jumlahnya pasti tidak kurang berbanding tahun lalu.
“Yang penjawat awam negeri (pemberian bonus) pastinya tidak kurang daripada tahun lepas. Mungkin lebih tapi tidak kurang dan mungkin sama. Bergantung kepada kedudukan kewangan.
“Sebab sekarang pun baru dapat (kutipan hasil) RM850 juta lebih kurang. Ada RM150 juta lagi daripada sasaran untuk melepasi RM1 billion,” ujarnya.-PAHANGMEDIA