Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUALA LUMPUR, 19 SEPTEMBER 2025 : Produk keluaran Negeri Pahang terus menerima pujian daripada pengunjung di Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2025 hasil kualiti tinggi serta potensinya menembusi pasaran global.
Seorang pengunjung dari Melbourne, Katie, berkata dia teruja apabila melihat kecantikan dan keunikan produk Negeri Pahang, khususnya dalam bidang tekstil.

“Pejabat MATRADE Melbourne membawa saya ke sini untuk melihat potensi dalam pembuatan tekstil di Malaysia dan saya baru sahaja diperkenalkan dengan seorang pereka yang bukan sahaja mencetak fabrik, malah 100 peratus menggunakan kaedah seni lestari. Dia sangat teliti dengan hasilnya dan saya yakin ia mempunyai masa depan.
“Pada mulanya saya fikir ia sekadar corak cetakan biasa dengan menggunakan pewarna semula jadi, tetapi kemudian saya sedar ini sebenarnya adalah seni. Ia sangat eksklusif dan unik.
“Kualitinya juga di luar jangkaan. Jika seseorang sanggup meletakkan usaha begitu banyak dalam karyanya, sudah pasti kualitinya terjamin. Mereka menggunakan fabrik berkualiti tinggi dan anda boleh lihat sendiri pada sutera, warnanya lebih terang berbanding kapas. Jadi, untuk pasaran di Australia, ini sesuatu yang besar dan sangat mengujakan,” ujarnya.

Bagi Puan Julia Rahman, 50, produk makanan dari Negeri Pahang mempunyai cita rasa tersendiri yang mampu menambat hati pelanggan tempatan mahupun luar negara.
“Setakat ini , semua produk yang saya lihat dan cuba sangat bagus, terutama ikan patin dan nanas dari Pahang. Saya boleh katakan sepuluh daripada sepuluh (markah) untuk kualiti produk mereka.
“Kualiti produk ni memang sangat bermutu dan saya yakin dengan penghasilan produk sebegini boleh capai ke peringkat antarabangsa,” katanya. -PAHANGMEDIA

