Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUALA LUMPUR, 19 SEPTEMBER 2025 : Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2025 merupakan pentas pembuka peluang kepada usahawan tempatan menembusi pasaran antarabangsa.
Menurut pengusaha Valley Prestige Sdn. Bhd., Puan Noorzainin Mohamed Suki, 59, penyertaan usahawan Pahang dalam acara ini memberi impak besar terhadap usahawan daripada Negeri Pahang.
“Program ini dapat memberi peluang kepada usahawan yang baru nak memulakan perniagaan dan ia dikira satu pendedahan kepada barangan kita.

“Selama ini produk kami hanya tertumpu kepada pasaran tempatan sahaja, tapi bila datang sini ramai juga pengunjung dari luar yang terkejut melihat hasil tangan kita.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana memberi peluang kepada kami para usahawan. Saya amat bersyukur dapat menyertai program ini yang membuka ruang untuk kami mengembangkan produk ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, pengasas ALG Patin Legacy, Encik Mohd Hafizul At’ras, 39, berkata sambutan yang diterima sepanjang penyertaannya di MIHAS amat luar biasa dan memberi keyakinan bahawa produk tempatan Pahang berpotensi besar menembusi pasaran antarabangsa.

“Asalnya produk ini sekadar usaha kecil, tetapi sambutan di sini sangat luar biasa. Ramai yang bangga bila tahu inilah ikan patin dan tempoyak paling sedap dari Pahang. Saya sendiri rasa bangga jadi anak jati negeri ini.
“Booth kami tidak pernah kosong. Produk untuk ‘tester’ pun habis. Dalam dua hari ini sahaja, jualan kami sudah mencecah lebih 100 unit. Sambutan ini membuktikan produk Pahang ada tempatnya di pasaran antarabangsa.
“Terima kasih kerana Kerajaan Negeri bawa dan bagi peluang kepada kami peniaga-peniaga kecil ini sampai ke tahap ini. Saya harap Negeri Pahang terus maju dan akan buat lebih baik lagi dan mungkin boleh buka lagi banyak booth lagi selepas ini,” ujarnya.
Bertemakan Temerloh Titik Tengah Semenanjung, Pavilion Pahang sekali lagi menjadi antara daya tarikan utama di MIHAS 2025 yang berlangsung dari 17 hingga 20 September 2025. -PAHANGMEDIA

