Oleh: Norhafizan Zulkifli
RAUB, 10 SEPTEMBER 2025 : Sumbangan yang diterima mahasiswa melalui Inisiatif Makmur Pahang (I.M Pahang) Kluster Siswa 2025 disifatkan sebagai sokongan langsung yang membantu pelajar menampung keperluan ekonomi mengikut fasa pengajian masing-masing.
Bagi Muhammad Azfar Daniel Mohd Azhari, 21, penuntut Diploma UiTM Bukit Besi, Terengganu, bantuan itu digunakan untuk membeli kelengkapan bagi persiapan menyambung pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang Kejuruteraan Kimia tidak lama lagi.
“Alhamdulillah dengan sumbangan ini saya boleh beli kelengkapan untuk sambung belajar nanti sebab ada beberapa perkara berkaitan Chemical Engineering, alat-alat apa semua… jadi dengan sumbangaan ini dapat membantu dari sudut itulah.
“Terima kasih, sumbangan dari Kerajaan Negeri Pahang ini dapat membantu ekonomi pelajar jugalah. Terima kasih Tok Wan,” katanya.
Seorang lagi penerima, Norfareha Yasmin Mokhtar, 23, yang merupakan mahasiswa UiTM Kota Bharu, berkata sumbangan itu banyak membantu menguruskan kos sara hidup buatnya yang kini sedang menjalani latihan induusti di Maybank, Bentong.
“Sumbangan ini saya guna untuk beli barang keperluan dan makanan juga sebab saya intern (latihan industri) jauh dari rumah. Intern dekat Bentong, rumah dekat Raub. Sumbangan dapat tampung perbelanjaan sepanjang intern.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana beri sumbangan kepada mahasiswa seluruh negeri Pahang, insyaAllah kami akan gunakan dengan sebaik yang mungkin. Terima kasih banyak-banyak,” ujarnya.
Dalam pada itu, seramai 142 mahasiswa menerima manfaat I.M Pahang Kluster Siswa 2025 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dong yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal bagi pihak YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail bertempat di Dewan Terbuka Kampung Sungai Pasu, di sini semalam.
Daripada jumlah tersebut, 88 orang penerima adalah mahasiswa perempuan manakala 54 orang lagi mahasiswa lelaki di mana setiap mahasiswa menerima bantuan tunai RM400 seorang, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan yang disalurkan bagi DUN Dong adalah sebanyak RM56,800.-PAHANGMEDIA