Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
KUANTAN, 10 SEPTEMBER 2025 : Pelajar Sarjana Muda Pengajian Islam Syariah (Ekonomi & Perbankan Islam) menzahirkan rasa syukur apabila menerima sumbangan dari Kerajaan Negeri Pahang untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Yarmouk, Jordan.
Menurut Muhammad Zarif Ilham Mohd Badrolnizam, 20, bantuan itu digunakan untuk membeli barang kelengkapan bagi persiapannya ke Universiti Yarmouk, Jordan.
“Sumbangan yang saya dapat dari YAB Menteri Besar Pahang (Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail) hari ini, saya boleh gunakan wang ini untuk wang permulaan supaya bersedia untuk membeli barang dan bersedia di Jordan.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang dan Yayasan Pahang kerana sentiasa komited dalam membantu pelajar-pelajar dan memberikan banyak manfaat kepada pelajar-pelajar untuk menyambung pelajaran didalam dan luar negara,” katanya.
Sementara itu, Nur Azwa Safrina Abdul Aziz, 20, melahirkan rasa gembira dengan bantuan tersebut yang akan digunakan bagi membayar yuran pendaftaran pengajian di Universiti Yarmouk, Jordan.
“Saya berasa sangat gembira telah mendapat sumbangan ini. InsyaAllah, sumbangan yang saya dapat tadi, saya akan gunakan sebagai yuran pendaftaran mahasiswa baharu disana nanti.
“Terima kasih kepada Kolej Yayasan Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang terutama sekali YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail atas sumbangan yang telah diberikan kepada kami seramai 19 orang pelajar Kolej Yayasan Pahang yang akan berlepas ke bumi anbiya iaitu Universiti Yarmouk, Jordan. InsyaAllah saya membawa semangat Pahang 1st ke bumi Jordan nanti,” ujarnya.
Manakala, Nasrul Mustaqim Jumaat, 20, menzahirkan rasa syukur atas bantuan Kerajaan Negeri Pahang yang dapat meringankan perbelanjaan mereka berada di sana.
“Pertama sekali saya sangatlah bersyukur sebagaimana yang kita ketahui kos disana sangat tinggi dan bantuan yang telah diberikan oleh kerajaan sangat membantu kami disana.
“Terima kasih Yayasan Pahang, Tokwan dan kerajaan negeri atas idea dan bakti yang kalian berikan. InsyaAllah saya akan berbakti semula ke Negeri Pahang akan datang,” katanya.
Seramai 19 orang pelajar tahun ketiga pengajian Ijazah Sarjana Muda Syariah (Ekonomi & Perbankan Islam telah menerima sumbangan wang pendahuluan pada Majlis Penyampaian Wang Pendahuluan Pelajar Tahun Ketiga Program KYP-Yarmouk Univeristi, Jordan di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), hari ini.
Sejak tahun 2005, Yayasan Pahang telah menawarkan kepada seramai 463 anak Pahang bagi mengikuti program ini dengan penajaan pinjaman berjumlah RM94,000 seorang untuk tempoh 4 tahun pengajian (2 tahun di Kolej Yayasan Pahang dan 2 tahun di Universiti Yarmouk, Jordan). -PAHANGMEDIA