Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 10 SEPTEMBER 2025: Kerajaan Pahang menyalurkan sumbangan sebanyak USD 1,000 seorang kepada 19 orang pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke Universiti Yarmouk, Jordan dengan jumlah seluruhan sebanyak USD 19,000.
Sumbangan ini telah disampaikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail kepada pelajar Sarjana Muda Pengajian Islam Syariah (Ekonomi & Perbankan Islam) pada Majlis Penyampaian Wang Pendahuluan Pelajar Tahun Ketiga Program KYP- Yarmouk Univeristi, Jordan di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), hari ini.

Menurut Datoβ Sri Diraja Haji Wan Rosdy, Kerajaan Pahang sentiasa prihatin terhadap kebajikan pelajar Pahang yang menyambung pengajian di luar negara.
“Kerajaan Negeri sekarang ini telah memikirkan bahawa anak-anak ini perlu dibela, dibantu supaya boleh melanjutkan pelajaran. Itulah adalah memang tanggungjawab kerajaan. Kerajaan yang gagal adalah kerajaan yang tidak mengambil berat tentang rakyat dan juga tentang pendidikan terutamanya.
“Jadi saya harap anak-anak semua ini akan menjadi aset kepada kerajaan yang ada pada hari ini dan InsyaAllah balik nanti akan dapat membantu kerajaan negeri kalau kerja di Negeri Pahang, kalau kerja di luar pun secara tidak langsung juga bantu negeri kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati para pelajar agar menjaga diri, sentiasa berhubung dengan ibu bapa serta menggunakan peluang belajar di Universiti Yarmouk, Jordan dengan sebaik mungkin.
“Jaga diri baik-baik, hantar berita selalu kepada mak dengan ayah kerana kita sudah ada kemudahan. Gunakan masa sebaik mungkin dan bukan semua orang dapat belajar di Universiti Yarmouk, Jordan,” katanya.
Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Datoβ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad. – PAHANGMEDIA

