Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 09 SEPTEMBER 2025 : Seramai 142 orang mahasiswa dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dong hari ini menerima manfaat melalui Inisiatif Makmur Pahang (I.M Pahang) Kluster Siswa 2025 yang berlangsung di Dewan Terbuka Kampung Sungai Pasu, di sini hari ini.
Daripada jumlah tersebut, 88 orang penerima adalah mahasiswa perempuan manakala 54 orang lagi mahasiswa lelaki di mana setiap mahasiswa menerima bantuan tunai RM400 seorang, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan yang disalurkan bagi DUN Dong adalah sebanyak RM56,800.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, rata-rata penerima menzahirkan rasa gembira dan lega dengan bantuan yang diterima mereka hari ini.
“Pada awal diperkenalkan pada tahun 2022, jumlahnya RM200 seorang. Tapi hari ini, pada tahun 2025, dah ditingkatkan kepada RM400 untuk setiap mahasiswa, menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Pahang begitu prihatin dan mengambil berat soal kehidupan mahasiswa di kampus.

“Tambah pula dalam keadaan dunia yang tak menentu hari ini, kos sara hidup yang makin meningkat. Jadi, ini adalah satu pembelaan yang wajar kepada mahasiswa yang berada di IPTA (Institusi Pengajian Tinggi Awam),” katanya selepas selesai menyampaikan sumbangan berkenaan bagi pihak YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Tambahnya, mahasiswa juga perlu sentiasa mendoakan kepimpinan Kerajaan Negeri agar terus diberi kekuatan mencatat prestasi ekonomi yang baik sekali gus dapat memulangkan hasil tersebut kepada rakyat dalam bentuk bantuan seperti I.M Pahang.

Ujarnya lagi, selain Kluster Siswa, pelbagai kelompok lain turut mendapat manfaat daripada I.M Pahang sejak ia dilaksanakan, termasuk pelajar Tahun 1, calon SPM dan STPM, warga emas serta golongan masyarakat yang memerlukan.
“Yang pertamanya, mahasiswa Pahang perlu bersyukur atas inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pahang, tidak banyak negeri yang melaksanakan inisiatif sebegini.
“Dan yang keduanya, mereka perlu sedar bahawa mereka diambil berat oleh Kerajaan Negeri Pahang. Yang ketiganya, mungkin nanti apabila kembali bertugas di negeri Pahang bila tamat belajar nanti dan mencurah bakti kembali bantu rakyat dan negeri yang tercinta ini,” tambahnya. -PAHANGMEDIA

