Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 31 OGOS 2025 : “Setiap kali saya akan pilih negeri berbeza supaya mereka dapat merasai kelainan,” kongsi Puan Rafidah berkenaan aktivitinya dan keluarga bagi menyambut Hari Kebangsaan.
Puan Rafidah Rahmat, 47, dari Johor Bahru berkata, dia dan keluarga memilih untuk membawa anak-anaknya merasai suasana perayaan bersejarah itu di negeri-negeri berbeza bagi memastikan mereka lebih memahami erti sebenar kemerdekaan.

“Setiap tahun saya akan bawa anak-anak yang berusia 17 tahun dan 6 tahun. Kita dedahkan mereka apa itu Hari Kemerdekaan, dan setiap kali saya akan pilih negeri berbeza supaya mereka dapat merasai kelainan.
“Sebagai contoh, suasana pagi seperti ini kita dapat lihat rakyat pelbagai kaum berkumpul bersama. Apabila anak-anak sendiri menyaksikan perbarisan dan perpaduan ini, mereka akan lebih memahami erti sebenar kemerdekaan.
“Sebelum ini kami dah menyambut Hari Kebangsaan di Johor Bharu, dan Kuala Lumpur sebelum memilih ke Pahang pada tahun ini memandangkan ada cuti panjang kali ini,”katanya.

Bagi Encik Nazarudin Deman, 35, dari Kemaman, suasana sambutan tahun ini amat meriah dan berjaya menyemarakkan semangat anak-anaknya untuk meraikan Hari Kebangsaan dengan mengenakan pakaian bertemakan Jalur Gemilang.
“Anak-anak juga bersemangat mengenakan pakaian patriotik dan mereka sendiri yang meminta untuk memakainya. Malah, pernah menjuarai pertandingan di sekolah. Jadi bila mereka begitu bersemangat, kita sebagai ibu bapa turut sama rasa teruja menyambut Hari Kemerdekaan ini,” katanya.
Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 Peringkat Negeri Pahang yang dihadiri 50,000 pengujung yang disambut penuh warna-warni itu jelas menunjukkan semangat perpaduan dan kecintaan rakyat terhadap tanah air, sekali gus mencerminkan bahawa erti kemerdekaan terus disemai dalam jiwa setiap lapisan masyarakat, termasuk generasi muda. -PAHANGMEDIA

