Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 31 OGOS 2025 : Keterujaan kanak-kanak autisme, Muhammad Yusuf Furqan untuk menyambut Hari Kebangsaan terlihat jelas bukan sahaja daripada penampilannya yang berbusana bertemakan Jalur Gemilang, malah dengan nyanyian lagu patriotik olehnya.
Menurut ibunya, Puan Aini Mahat, 37, dari Kem Batu 10, anaknya Muhammad Yusuf Furqan Muhammad Atif, 8, sambutan kali ini lebih istimewa kerana memenuhi permintaan anaknya yang ingin menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan secara langsung.

“Setiap tahun mereka (anak-anak) meminta pakaian bertemakan Jalur Gemilang. Semangat mereka sangat luar biasa, sehingga sejak dalam perjalanan lagi sudah menyanyikan lagu-lagu patriotik.
“Dia (Yusuf Furqan) ini istimewa dan dia yang paling semangat sekali untuk sambut Hari Kebangsaan, nak tengok kereta kebal.
“Anak-anak pun cakap mereka seronok dan waktu macam ini lah nak gayakan mereka dengan pakai baju Jalur Gemilang,” katanya.

Sementara itu, Puan Zaidah Shamsuddin, 64, dari Balok pula berkongsi perasaan teruja cucunya untuk menyambut Hari Kemerdekaan menjadi pendorongnya menempah pakaian bertemakan patriotik khusus bagi sambutan pada tahun ini.
“Saya hadir pada sambutan kali ini bersama cucu. Sebenarnya, semangat cucu yang mengajak saya datang. Pakaian yang dipakainya ditempah khas kerana dia sendiri meluahkan rasa bangga menjadi rakyat Malaysia. Itulah yang mendorong saya menyediakan busana ini untuknya,” katanya.
Keterujaan kanak-kanak pada sambutan kali ini memberi gambaran bahawa semangat kemerdekaan sentiasa diwarisi, memastikan generasi muda terus memahami erti kebebasan dan kemakmuran. -PAHANGMEDIA

