Oleh: Norhafizan Zulkifli
PEKAN, 30 OGOS 2025 : Pemberian buku rujukan dan buku latihan menerusi Inisiatif Makmur Pahang (I.M Pahang) oleh Kerajaan Negeri hari ini dilihat menjadi nilai tambah serta penggalak semangat kepada para pelajar SPM, STPM dan STAM dalam menempuh peperiksaan tahun ini.
Bagi Muhammad Hafiq Ramaddan Abdullah, 18, pelajar Kulliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar, pemberian ini amat besar maknanya khususnya kepada pelajar STAM yang berdepan silibus baharu buat pertama kali tahun ini.
“Alhamdulillah, pertamanya saya nak ucapkan terima kasih kepada Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail atas pemberian buku modul ini. Ia menjadi nilai tambah serta penggalak semangat kepada kami terutamanya pelajar STAM sebab modul pada tahun ini agak berbeza memandangkan silibus kami bertukar setiap lima tahun.
“Maka kami adalah ‘batch’ pertama yang ditukar silibusnya pada tahun ini, jadi ‘level’ pada tahun ini agak susah, namun Alhamdulillah, atas sebab pemberian ini mungkin ianya akan menjadi satu batu loncatan buat kami untuk meraih kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan,” katanya kepada Pahang Media selepas Majlis Pelancaran Buku Rujukan dan Buku Latihan SPM, STPM dan STAM di Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SHAH), di sini hari ini.
Penyampaian buku berkenaan dilaksanakan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar serta barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri.
Muhammad Hafiq Ramaddan yang bercita-cita melanjutkan pengajian ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) atau Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang undang-undang sivil dan syariah itu turut menyasarkan pencapaian Mumtaz Sufi dalam STAM.
Sementara itu, pelajar STPM dari SMK Tengku Abdullah, Nurul Hana Atikah Mohd Rizahar, 19, menyifatkan modul yang diterima sangat membantu kerana rujukan untuk STPM agak terhad di atas talian.
“Kalau bagi pelajar STPM, dengan adanya modul ini memang sangat membantu untuk kami ‘study’ atau ulangkaji sebab nota-nota STPM tak banyak dekat online (atas talian), jadi kami kena ada buku rujukan. Mungkin dengan adanya modul ini kami boleh dapat result (keputusan) yang cemerlang. Macam untuk STPM result (keputusan) cemerlang…dapat 4.0.
“Dapat juga meringankan beban sedikit sebab kalau cari dekat bandar memang mahal walaupun buku itu kecil. Terima kasih Tok Wan atas pemberian modul untuk kami,” ujarnya.
Bagi Lukman Faiz Munif, 17, pelajar aliran Sains Tulen dari Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SHAH) yang bakal menduduki SPM tahun ini, pemberian tersebut menjadi pendorong untuk mencapai sasaran cemerlang.
“Pertama sekali saya nak cakap terima kasih Tok Wan sebab bagi buku ini. Saya berharap dengan adanya buku ini dapat membantu saya dalam SPM untuk capai matlamat cemerlang.
“Saya harap dengan buku Matematik ini saya dapat A+ dalam subjek Matematik dan juga saubjek yang lain. Saya target (sasar) dapat 9A+ dan kalau ada rezeki saya nak melanjutkan pelajaran ke luar negara,” katanya.
Inisiatif Makmur Pahang Buku Rujukan dan Buku Latihan SPM, STPM dan STAM yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri hari ini bertujuan memastikan pelajar mempunyai akses kepada bahan rujukan berkualiti, sekali gus mengurangkan beban kos perbelanjaan ibu bapa dan menambah semangat anak-anak Pahang untuk mencapai kecemerlangan akademik. -PAHANGMEDIA