Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahrizar Azdhar
RAUB, 29 OGOS 2025 : Sesi taklimat projek bekalan air bersama penduduk kampung secara bersemuka merupakan perkara yang amat dinantikan oleh rakyat dalam menyampaikan secara terus permasalahan yang dihadapi kepada Kerajaan Negeri.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, sesi ini selari dengan hasrat YAB Menteri Besar Pahang agar masalah air ini dapat diselesaikan sekurang-kurangnya 90 peratus pada tahun hadapan.
“Saya nampak wajah lega penduduk kampung di Jeram Besu dan di Ulu Renggol hari ini bila dapat dengar sendiri penjelasan daripada YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dan juga pihak PAIP (Pengurusan Air Pahang Berhad). Dan mereka meluahkan dan mereka dengar sendiri inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dan juga PAIP untuk membantu mereka.
“Boleh kita nampak tadi wajah lega, puas hati mereka dan saya rasa perkongsian dua hala, bersemuka yang dilaksanakan oleh YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang ini adalah ditunggu-tunggu oleh rakyat.
“Dan aktiviti turun padang ini menunjukkan kesungguhan Kerajaan Negeri untuk membantu masyarakat Raub dalam isu bekalan air ini dan ini nampak kesungguhan seperti mana hasrat YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail agar masalah air ini dapat diselesaikan pada tahun 2026 sekurang-kurangnya 90 peratus,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa gembira dengan penjelasan dan komitmen yang diterima daripada Kerajaan Negeri Pahang dan pihak PAIP dalam menyelesaikan isu air di kawasan berkenaan.
“Dan saya mewakili warga Raub melahirkan rasa gembira sebab dapat mendengar penjelasan daripada YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dan juga CEO PAIP berkenaan langkah penyelesaian isu bekalan air ini yang dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan ini untuk kawasan sekitar Jeram Besu.
“…yang mana Jeram Besu adalah kawasan yang paling terkesan dalam isu bekalan air ini sejak sekian lama. Jadi saya harap masyarakat menghargai gerak kerja yang pantas dan komitmen daripada Kerajaan Negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Taklimat Projek Bekalan Air di Daerah Raub oleh PAIP dan Sesi Bersama JPKK dan Penduduk Kampung di Dewan Serbaguna Kampung Jeram Besu.
Hadir sama, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, YH. Dato’ Saiful Zaini Mohd Bokhari; Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Pahang, YBhg. Dato’ Hamadan @ Hamdan Hussin; dan Pegawai Daerah Raub, YH. Dato’ Mohd Khuzaidi Harun. -PAHANGMEDIA

