Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 25 OGOS 2025 : Ketua Kampung Rancangan Penempatan Semula (RPS) Orang Asli Sungai Bilut dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Saudara Baharu Negeri Pahang 1447H/2025M pada Majlis Santuni Saudaraku sempena Sambutan Maal Hijrah dan Pelancaran serta Penyampaian Inisiatif Makmur Peringkat Negeri Pahang di sini hari ini.
Azmani Nurdin, 27, menerima anugerah berkenaan yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad selaku wakil rasmi YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Azmani yang mula menjawat jawatan Ketua Kampung atau Tok Empat RPS Sungai Bilut sejak dua tahun lalu berkata, penghargaan itu menjadi amanah besar buat dirinya untuk terus membantu meningkatkan kesejahteraan masyarakat Orang Asli.
“Saya sebenarnya tidak layak pun terima anugerah ini, tapi dah orang pilih, saya terpaksa terima jugalah. Tapi saya berbangga juga sebab bukan selalu dapat anugerah macam ini,” katanya.
Tambahnya, anugerah yang diterimanya itu berkemungkinan kerana usaha kecil yang dilakukannya dalam membantu sembilan Orang Asli di Bentong dan Raub memeluk Islam sejak tahun 2024.
“Bila saya jadi Tok Empat, mereka tidak malu untuk berjumpa dengan saya untuk bertanya tentang Islam,” katanya lagi.
Tambanhya, selepas memenangi anugerah berkenaan, beliau berazam untuk lebih memberi tumpuan kepada pembangunan belia Orang Asli.
“InsyaAllah saya cuba untuk banggakan lagi masyarakat Orang Asli, bukan untuk saya sahaja, tetapi untuk masyarakat Orang Asli… belia Orang Asli. Saya nak cuba bangunkan belia Orang Asli,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu merakamkan penghargaan atas segala inisiatif yang diketengahkan oleh YAB. Menteri Besar Pahang dalam usaha memajukan masyarakat Orang Asli di negeri ini.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tok Wan kerana bantu Orang Asli untuk tidak terkongkong, boleh terus maju,” ujarnya lagi. -PAHANGMEDIA

