Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 25 OGOS 2025 : Program Santuni Saudaraku dianggap sebagai platform terbaik dalam usaha Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) memperkukuh silaturahim serta menyantuni masyarakat Orang Asli di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, program berkenaan merupakan antara inisiatif terbaharu di bawah Aspirasi Pahang1st yang diperkenalkan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

“Alhamdulillah, hari ini kita berjaya menyantuni saudara kita di sini kampung ini, kita menziarahi rumah ke rumah, kita memberi sumbangan kepada orang asli yang memerlukan di bawah I.M Pahang (Inisiatif Makmur Pahang).
“Kita bersyukur program ini mendapat sambutan yang sangat baik, penduduk-penduduk setempat memberikan kerjasama dan ramai yang hadir,” katanya selepas selesai merasmikan Majlis Santuni Saudaraku sempena sambutan Maal Hijrah dan Pelancaran Serta Penyampaian Inisiatif Makmur Peringkat Negeri Pahang mewakili YAB. Menteri Besar Pahang, bertempat di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Orang Asli Sungai Bilut, di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal dan Pengarah JAIP, YH Dato’ Haji Ahmad Khirrizal Ab Rahman.
Program yang dijalankan secara berterusan sejak tiga tahun lalu itu sebelum ini telah diadakan di Bera dan Bentong, dan tahun ini diteruskan di Raub.
YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim berkata, kejayaan penganjuran program terbabit adalah hasil kerjasama erat pelbagai agensi termasuk JAIP, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta Yayasan Pahang.

“Setiap tahun kita buat satu acara (ini) sebab kita ada penggerak masyarakat di bawah JAIP, di bawah MUIP dan di bawah JAKOA dan dibantu oleh Yayasan Pahang. Mereka ini tidak ramai, sekitar 50 ke 60 orang tapi mereka bergerak.
“Hasil gerakan mereka ini, Alhamdulillah kampung-kampung Orang Asli semakin menyerlah dan juga banyak perkara kita dapat bantu. Contohnya Rumah Rakyat Pahang (RRP), kita berjaya membina hampir 200 buah. Saban tahun tidak kurang 30 orang kita hantar Orang Asli ke universiti.
“Kemudian itu, kita dah ada enam buah sekolah KAFA (Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain) di perkampungan Orang Asli, dan juga surau bertaraf masjid ada 12 buah di kampung Orang Asli,” katanya lagi.

Beliau menambah, pendekatan berterusan ini akan diteruskan bagi memastikan masyarakat Orang Asli terus disantuni dan mendapat manfaat pembangunan yang lebih seimbang.
Sementara itu, Majlis Santuni Saudaraku menyaksikan seramai 1,765 Orang Asli dari enam buah daerah menerima bantuan I.M Pahang selain penyampaian empat anugerah iaitu Anugerah Surau Kebenaran Jumaat Terbaik, Anugerah Kampung Orang Asli Terbaik, Anugerah Daie Saudara Baharu dan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Saudara Baharu peringkat negeri Pahang. -PAHANGMEDIA

