Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 15 OGOS 2025 : Pasar Segar Serambi Teruntum yang baharu dirasmikan hari ini bakal menjadi alternatif kepada penduduk setempat untuk mendapatkan pelbagai produk segar tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada Pasar Besar Kuantan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, kewujudan pasar ini memberi kemudahan kepada masyarakat khususnya di sekitar bandar Kuantan untuk mendapatkan bekalan segar dengan lebih mudah.
“Pasar ini satu alternatif, sebab kalau kita semua tertumpu ke bandar (Pasar Besar Kuantan), kereta nak masuk banyak (sesak). Yang penting adalah kemudahan untuk orang setempat ini. Kalau nak pergi pasar, tidak perlu ke sana (bandar), boleh sahaja dapatkan bekalan di Pasar Segar Serambi Teruntum ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pasar Segar Serambi Teruntum bertempat di perkarangan Pasar Segar Serambi Teruntum, di sini hari ini.
Majlis perasmian turut dihadiri Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH Dato’ Zaliza Zulkipli serta wakil-wakil agensi berkaitan.
YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin juga memaklumkan pasar yang menempatkan 18 unit ini telah disewakan sepenuhnya kepada peniaga tempatan, dengan fokus utama kepada pemasaran produk segar dari negeri Pahang selaras dengan Aspirasi Pahang 1st.
“Ada kita dapati ada dari negeri luar sedikit, tapi kita sebenarnya patut mengutamakan produk-produk yang dihasilkan daripada tempatan. Sebab dalam Aspirasi Pahang1st pun kita nak Pahang ini ke hadapan dari segi jualan, dari segi produk tempatan. Sama-samalah kita promosikan produk dari negeri kita.
“Saya tidak menghalang (jualan produk negeri luar), kalau boleh kita mesti ada semangat Pahang 1st ini untuk kita sama-sama mencintai negeri Pahang kita. Kalau boleh dari produk yang berkualiti daripada Pahang yang terjamin kebersihan dan ada citarasa yang sedap dan boleh dipromosikan bukan sahaja untuk rakyat tempatan, tapi mungkin juga ada permintaan dari luar,” ujarnya.
Dalam majlis berkenaan, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin turut meninjau jalan baharu bernilai RM1 juta yang dibina oleh MBK bagi menghubungkan kawasan Serambi Teruntum, sekali gus memendekkan masa perjalanan dan memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Beliau menyeru orang ramai memanfaatkan kemudahan pasar segar tersebut dan bersama-sama memastikan ia menjadi pusat baharu pembelian barang keperluan penduduk di kawasan sekitar. -PAHANGMEDIA