Oleh : Syaherah Azmi & Norhafizan Zulkifli
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 14 OGOS 2025 : Seramai 30 peserta terdiri daripada ahli jawatankuasa Majlis Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang (MAKPEN), ahli gabungan, ketua sukarelawan dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri telibat dalam siri Jelajah Kembara Merdeka MAKPEN 2025.
Pelepasan peserta dilakukan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail bertempat di perkarangan Wisma Sri Pahang, hari ini.
Setiausaha Kehormat MAKPEN, Tuan Salamon Ali Rizal berkata, sebanyak enam daerah akan dituju iaitu Maran, Bera, Temerloh, Jerantut, Lipis dan berakhir di Cameron Highlands.

Katanya, program jelajah ini berlangsung selama tiga hari bermula hari ini dan berakhir pada Sabtu.
Siri Jelajah Merdeka MAKPEN 2025 ini dilaksanakan bertujuan untuk menyemarakkan semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos nanti.
Program ini melibatkan konvoi kenderaan dihiasi Jalur Gemilang ke lokasi terpilih berkenaan.
Hadir sama YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, dan barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri.-PAHANGMEDIA

