Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 04 OGOS 2025 : Kerajaan Pahang menzahirkan komitmen tinggi dalam memastikan aspek pemakanan halal diterapkan di semua institusi pendidikan, khususnya sekolah agama.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, sebanyak 18 buah Sekolah Agama milik Kerajaan Negeri telah memperoleh pensijilan halal secara rasmi daripada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
“Sekolah Agama kita dahulukan, sekolah federal kita lakukan kempen. Kita berikan ilmu dan motivasi supaya mereka dapat pengetahuan berkaitan sijil-sijil halal ini.
“Kita ada 18 buah sekolah agama, semuanya dapat sijil halal dan kita sedang berusaha untuk Sekolah Agama Rakyat. Sesetengah Sekolah Agama Rakyat masih belum diberikan lagi pengiktirafan pensijilan halal, jadi kita kena bantu mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Program Pelancaran Zon Halal di Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Temerloh Arah Barat, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPN) agar mengambil inisiatif untuk mendapatkan sijil halal bagi kantin-kantin sekolah.
“Yang di bawah Kementerian Pendidikan kita ada terima permohonan juga tapi terlalu minimal. Kita seru untuk Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pendidikan untuk menyahut seruan bagi mendapatkan sijil halal supaya ibu bapa rasa selesa ketika anak mereka berada di asrama,” katanya. -PAHANGMEDIA

