Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 30 JULAI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang disifatkan sangat mengambil berat berkenaan pembangunan golongan muda di negeri ini dengan pemberian sumbangan dan lawatan.
Menurut pemilik perniagaan gunting rambut Zass Barber, Encik Mohamad Noor Hafiz Kamar Bahrin, sokongan yang diterima daripada Kerajaan Negeri Pahang ini amat dihargai.
“Kerajaan Negeri Pahang amat menyokong anak muda di negeri ini. Kita anak muda ni nak memperluaskan lagi perniagaan contohnya, bila dapat sokongan dari YB, dari Kerajaan Negeri, kita rasa seronok, rasa bersemangat.
“Macam hari ni saya tak jangka YB. Fadzli akan datang ke kedai saya, bukan setakat bertanya khabar dan mengambil tahu perniagaan saya malah datang untuk sampaikan sumbangan bagi operasi kedai saya ini.
“Rasa gembira, rasa terharu dan terkejut sebenarnya sebab kedai kita kecil sahaja, kedai kampung. Saya plan nak guna duit sumbangan ini untuk perbaiki kedai dan beli barang mesin,” katanya.
Sementara itu, bagi pemilik FA Motorpart, Encik Muhammad Idham Safwan, dia merasa gembira apabila Kerajaan Negeri mengambiltahu perkembangan anak muda di Pahang.
“Saya rasa gembira dan terharu bila YB Fadzli datang ke kedai saya, datang tengok perkembangan perniagaan anak muda, bagi sokongan dan sumbangan,” katanya.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, Kerajaan Negeri Pahang akan sentiasa memberi bantuan kepada anak muda yang ingin memajukan diri dan mendengar permintaan mereka.
YB. Tuan Fadzli telah mengadakan lawatan dan menyampaikan sumbangan kepada peniaga muda pada Jelajah Aspirasi Pahang 1st Daerah Kuantan yang bermula hari ini. -PAHANGMEDIA

