Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 30 JULAI 2025 : “Kalau Pakcik hendak buat (rumah), mati hidup semula pun tidak akan dapat macam rumah ini.…”
Luah Kamaruzaman Haji Jaafar, 55, salah seorang penerima Rumah Rakyat Pahang (RRP) di Kampung Seri Mahkota, di sini hari ini yang menyifatkan kediaman yang diterimanya hari ini sebagai istana dan syurga buat dia dan dua anaknya.
Kamaruzaman memaklumkan sebelum ini dia yang tidak pernah memiliki rumah dan terpaksa hidup menumpang rumah arwah abangnya sebelum berpindah ke rumah anak keduanya di Muadzam Shah, Rompin selepas kematian abangnya itu.

“Pakcik tak bekerja dan menumpang. Alhamdulillah dan terima kasih kepada YAB. (Menteri Besar Pahang) kerana memberikan rumah yang begitu indah dengan barangan elektrik sekali. Semoga beliau dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki.
“Memang tidak terfikir (dapat rumah) tapi Alhamdulillah YAB. kita memang betul-betul prihatin. Macam bermimpi… Pakcik bersyukur dapat rumah, macam syurga buat pakcik,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Replika Kunci Rumah dan Peralatan Elektrik oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail sempena Jelajah Aspirasi Pahang 1st di Kampung Seri Mahkota, di sini, hari ini.
Turut hadir YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan barisan kepimpinan setempat. Seramai lima keluarga di kampung berkenaan menerima replika kunci RRP hari ini.

Bagi Zailina Adam, 39, pula, rumah yang diterima ibarat satu anugerah yang mengubah takdir keluarganya.
Dia yang sebelum ini menetap di rumah sewa di Bukit Kuantan pada kadar Rm300 sebulan bersama suami dan dua anak termasuk seorang anak OKU tidak menyangka akhirnya dapat memiliki rumah sendiri.
“Gembira, Alhamdulillah, syukur.. terharu. Tak boleh nak kata apa. Kita nak beli sendiri, memang tidaklah. Memang tidak boleh nak kata apa, Alhamdulillah,” katanya.
Zailina yang bekerja sebagai pembantu taska dengan pendapatan RM150 seminggu turut merakamkan penghargaan atas pemberian sumbangan berupa barangan elektrik sekali gus melengkapkan keperluan isi rumah mereka sekeluarga.
“Nak beli (peralatan rumah) memang tidaklah… Rumah sewa (sebelum ini) pun tidak ada apa. Impian (memiliki rumah) itu.. kami rasa tidak ada (tidak terfikir). Memang tidak akan tercapai dengan pendapatan kami sekarang ini.
“Kalau kat tempat lain memang tak ada lah… Kerajaan Negeri Pahang sahaja yang ada (RRP). Alhamdulillah syukur,” katanya memaklumkan suami tidak bekerja kerana menghidap penyakit asma yang kronik. -PAHANGMEDIA

