Oleh : Syaherah Azmi & Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 29 JULAI 2025 : UCYP University bakal menjadi satu-satunya Pusat Bahasa Rusia di rantau ini mulai Ogos hadapan yang bakal menarik minat pelajar dari negara ini serta Asia Tenggara.
Menurut Pendaftar UCYP University, Encik Jalaluddin Abdullah, kerjasama ini turut mendapat sokongan penuh Kerajaan Rusia melibatkan pembiayaan penuh tenaga pelajarnya.
“Malaysia belum pernah ada pusat khusus untuk bahasa Rusia. Dengan kerjasama bersama Pushkin State Russian Language Institute, UCYP University bakal menjadi satu-satunya pusat bahasa Rusia di rantau ini.

“Kita juga menyasarkan untuk menarik minat pelajar bukan sahaja dari Malaysia, tetapi juga dari negara-negara Asia Tenggara.
“Kerajaan Rusia akan menghantar tenaga pengajar yang dibiayai sepenuhnya. Jadi pelajar tidak perlu ke luar negara semata-mata untuk mempelajari bahasa Rusia. Semua kemudahan akan disediakan di sini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutup Ambassadors of the Russian Language in the World di Auditorium, Kampus Utama UCYP University , hari ini.

Sementara itu, menurut Ahli Lembaga Pengelola UCYP University, YB Dato’ Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qari, beliau berharap melalui pusat bahasa ini pelajar dapat menguasai bahasa Rusia serta mendalami bidang teknologi demi memperkasa nama UCYP di peringkat serantau.
“Kita harap pelajar UCYP University bukan sahaja dapat menguasai bahasa Rusia, malah turut menimba ilmu dalam bidang teknologi agar dapat menjadikan UCYP sebagai universiti yang disegani, khususnya di rantau Asia Tenggara.
“UCYP University akan menjadi pusat linguistik, khususnya bagi bahasa Rusia di rantau ini. Jadi, di Malaysia tiada lagi yang pengkhususannya bahasa Rusia,” katanya. -PAHANGMEDIA

