Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 23 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM35 juta bagi melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan sistem saliran di tujuh daerah sebagai langkah mengurangkan risiko banjir kilat, khususnya menjelang musim tengkujuh.
Pada masa sama, Kerajaan Negeri turut memulakan Kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) bagi daerah Kuantan sebagai usaha merangka perancangan pengurusan sistem saliran yang lebih menyeluruh dan bersepadu.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kajian yang dilaksanakan menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu mengambil masa dua tahun bermula hari ini hingga 20 November 2028.
Menurutnya, kajian berkenaan bertujuan menyediakan pemetaan serta data inventori sistem saliran secara menyeluruh yang akan menjadi asas kepada perancangan pembangunan dan strategi pengurusan saliran pada masa hadapan.
“Hasil kajian ini akan menjadi panduan kepada pihak JPS, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan jabatan teknikal berkaitan untuk merancang strategi serta pembangunan yang akan dilaksanakan pada masa hadapan.
“Selain itu, kajian ini juga akan menjadi asas kepada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan pewartaan atau penyediaan rizab saliran bagi membolehkan kerja penyelenggaraan, pelebaran dan naik taraf dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, YB Dato’ Haji Andansura Rabu pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, daripada keseluruhan peruntukan RM35 juta yang diluluskan menerusi JPS, sebanyak RM5 juta disediakan bagi setiap daerah melibatkan Kuantan, Pekan, Temerloh, Lipis, Jerantut, Raub dan Maran.
Katanya, peruntukan berkenaan diharap dapat meningkatkan keupayaan sistem saliran sedia ada, sekali gus mengurangkan risiko kejadian banjir terutama ketika musim tengkujuh.
Sementara itu, menjawab cadangan ADUN Inderapura, YB Dato’ Sri Haji Shafik Fauzan Sharif berhubung pembinaan tasik takungan berskala besar di kawasan lembangan Sungai Belat dan Sungai Kuantan, beliau berkata cadangan tersebut boleh dipertimbangkan tertakluk kepada kedudukan peruntukan.
Menurutnya, Kerajaan Negeri juga akan berusaha mendapatkan sumber kewangan yang diperlukan bagi merealisasikan projek berkenaan untuk meningkatkan keupayaan pengurusan air larian permukaan serta mengurangkan risiko banjir.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata Kerajaan Negeri turut mengambil pendekatan lebih proaktif dalam menghadapi musim tengkujuh dengan mengenal pasti dan membersihkan sistem perparitan yang berisiko tersumbat sebelum berlakunya banjir.
“Pendekatan kita untuk menangani musim tengkujuh ini ada sedikit anjakan positif, antaranya mengenal pasti longkang yang mungkin tersumbat akibat rumput, kayu dan sebagainya untuk dibersihkan lebih awal.
“Kesan daripada tindakan itu, saya nampak ada perubahan. YB Dato’ Sri Setiausaha Kerajaan Negeri telah mengambil tindakan dan pada tahun lepas banjir tidak berlaku di kawasan tersebut. Usaha ini akan kita teruskan,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

