Oleh : Norhafizan Zulkifli
RAUB, 30 JULAI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang berharap Kementerian Kerja Raya dapat memberikan keutamaan untuk meluluskan peruntukan khas bagi membaik pulih dan menaik taraf jalan di sekitar Bukit Fraser, terutamanya laluan melibatkan penganjuran perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTDL) yang dijadualkan berlangsung Oktober ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, berkata keutamaan perlu diberikan kepada kerja-kerja baik pulih laluan sejauh tiga kilometer dari Pusat Bandar Bukit Fraser serta jalan-jalan sekitar yang menjadi tumpuan pelancong.
“Kita harap Kementerian Kerja Raya dapat memberikan keutamaan kepada permohonan peruntukan khas ini agar kerja-kerja baik pulih dapat dilaksanakan segera, bukan sahaja demi keselamatan pelumba LTDL tetapi juga demi keselesaan pelancong ke Bukit Fraser,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Isu Jalan di Bukit Fraser yang diadakan di Bilik Mesyuarat Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (Tourism Pahang), di sini, semalam.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, YB. Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin, serta wakil-wakil daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Pahang, JKR Selangor dan Tourism Pahang.
Mesyuarat turut disusuli dengan lawatan ke lokasi-lokasi laluan yang dikenal pasti memerlukan kerja naik taraf dan baik pulih.
Mengulas lanjut, YB. Dato’ Ir. Razali berkata, inisiatif itu juga penting sebagai persediaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, bagi memastikan jaringan jalan raya di kawasan pelancongan utama seperti Bukit Fraser berada dalam keadaan terbaik.

“Selain jalan, kita turut berbincang mengenai isu pokok-pokok yang perlu ditebang atau dipangkas terutama yang berada di luar kawasan Right of Way (ROW) kerana ia melibatkan bidang kuasa Jabatan Perhutanan. Oleh itu, penyelarasan tindakan antara agensi amat penting,” katanya.
Dalam mesyuarat itu, beliau turut mencadangkan agar Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Bukit Fraser yang sebelum ini diketuai oleh Majlis Daerah Raub (MDR), diperluaskan keahliannya dengan melibatkan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).
“Langkah ini bagi memastikan isu-isu berkaitan jalan, infrastruktur dan pembangunan di Bukit Fraser dapat diselaraskan secara menyeluruh memandangkan kawasan ini melibatkan sempadan dua negeri,” jelasnya. -PAHANGMEDIA

