Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : S. Prathap
BENTONG, 28 JULAI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang melihat pembangunan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) sebagai salah satu pelaburan jangka panjang yang akan memberikan pulangan yang tinggi kepada Kerajaan Negeri.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam, oleh itu Kerajaan Negeri Pahang amat komited dalam memberi sokongan terhadap pembangunan TVET dalam membangunkan modal insan di negeri ini.

“Kerajaan Negeri amat komited dalam menyokong pembangunan pendidikan teknikal dan vokasional, atau TVET, sebagai salah satu agenda utama pembangunan modal insan. Kami percaya bahawa pelaburan dalam bidang TVET adalah pelaburan yang akan memberikan pulangan jangka panjang yang tinggi.
“Di peringkat negeri, kami turut melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Program Latihan Kemahiran Berasaskan Industri (SLDN) bersama syarikat tempatan, penubuhan pusat kecemerlangan TVET negeri seperti Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (Pahang Skills) serta penganjuran karnival TVET untuk menarik minat pelajar serta memperluas kesedaran awam tentang potensi kerjaya dalam bidang teknikal.
“Dengan pendekatan yang menyeluruh ini, kita bukan sahaja menyokong dasar nasional, tetapi juga memperkukuh ekosistem TVET di negeri ini agar selari dengan perkembangan teknologi dan keperluan industri masa kini,” katanya.

Beliau berkata usaha memperkukuh ekosistem TVET di negeri ini juga penting dalam melahirkan tenaga kerja tempatan yang mahir dan berdaya saing di peringkat global.
“Saya percaya bahawa pertandingan ini akan menjadi titik tolak kepada lebih banyak kerjasama antara kerajaan negeri, agensi persekutuan, institusi pendidikan dan industri.
“Marilah kita bersama-sama menyokong usaha membina ekosistem inovasi yang inklusif dan mampan demi masa depan negara dan kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.
Beliau turut menegaskan Kerajaan Negeri Pahang juga sentiasa bersedia bekerjasama dengan MARA dan agensi pendidikan lain bagi mempeuas akses pelajar kepada program seumpama ini.
“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan pihak MARA dan agensi-agensi pendidikan lain untuk memperluas akses kepada program-program seumpama ini, bukan sahaja dalam kalangan pelajar bandar, tetapi juga mereka yang berada di luar bandar dan kawasan pedalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan MRSM Robo Challenge 2025, Piala Ketua Pengarah MARA kali ke-20 di MRSM Bentong sebagai wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang. -PAHANGMEDIA

