Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 23 NOVEMBER 2026 : Taman Negara Pahang, Kuala Tahan merekodkan kehadiran seramai 323,264 pelancong bagi tempoh 2024 hingga September 2026, sekali gus memperlihatkan sambutan berterusan terhadap destinasi ekopelancongan utama negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Puan Leong Yu Man berkata, jumlah berkenaan merangkumi 114,063 pelancong pada 2024, meningkat kepada 116,371 orang pada 2025 dan 92,830 orang bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.
“Kehadiran pelancong ke Taman Negara Kuala Tahan memberikan manfaat secara langsung kepada penduduk tempatan melalui perbelanjaan dalam sektor penginapan, makanan dan minuman, pengangkutan bot, perkhidmatan pemandu pelancong, aktiviti rekreasi serta penjualan produk tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, YB Tuan Mohd Zakhwa Ahmad Badarddin pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Menurutnya, kehadiran pengunjung itu turut memberikan limpahan ekonomi kepada komuniti setempat, khususnya pengusaha pelancongan dan perniagaan yang bergantung kepada aktiviti pelancongan di kawasan berkenaan. -PAHANGMEDIA

