Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
KUANTAN, 27 JULAI 2025: Sempena sambutan Hari Hutan Paya Laut Sedunia (World Mangrove Day), Bank Islam Malaysia Berhad melaksanakan inisiatif pemuliharaan alam sekitar melalui penanaman 3,000 benih pokok bakau serta pelepasan 100 ekor anak penyu hijau ke laut di Pantai Chendor.
Menurut Ketua Pegawai Operasi dan Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan Bank Islam, Encik Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff, pemilihan aktiviti seperti ini bukan sahaja selari dengan sambutan Hari Hutan Paya Laut Sedunia, malah mendokong matlamat pemeliharaan alam sekitar.

“Hari ini (26 Julai 2025) adalah Hari Hutan Paya Laut Sedunia (World Mangrove Day), jadi bersesuaian dengan acara itu Bank Islam dipanggil untuk membuat inisiatif ini.
“Seperti yang kita tahu mangrove (bakau) ini selain daripada membersihkan air, dia juga dapat mengekang hakisan tanah, menambah kepelbagaian ekologi marin dan juga menambah pendapatan para nelayan.
“Aktiviti hari ini bukan sekadar simbolik tetapi satu langkah nyata yang mampu membawa perubahan ke arah pemuliharaan alam sekitar demi masa depan generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Inisiatif Pemuliharaan Bakau dan Penyu di Pantai Chendor hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan program ini merupakan kolaborasi kali ketiga antara Bank Islam dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), dengan perbelanjaan dianggarkan sebanyak RM17,000.
“Inisiatif tahun ini yang dilaksanakan dengan Malaysian Nature Society ini adalah kali ketiga dan melibatkan pembelajaan sebangak RM 17,000,” katanya.
Beliau turut berkata bahawa pemilihan Pantai Chendor sebagai lokasi program ini adalah kerana kawasan tersebut sering mengalami hakisan tanah ketika musim monsun.
“Seperti yang kita tahu apabila datangnya musim monsun, hakisan tanah amat kuat sekali dikawasan ini. Jadi kami datang kesini tujuannya untuk mengekang penghakisan tanah,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa penglibatan pelajar-pelajar daripada institusi seperti Maahad Tahfiz dapat memupuk semangat mencintai dan memelihara alam semula jadi dalam kalangan generasi muda.
“Program hari ini melibatkan pelajar-pelajar daripada Maahad Tahfiz dan Advanced Technology Training Center (ADTEC) Kemaman. Tujuan kami melibatkan mereka, untuk memupuk semangat untuk menjaga alam semula jadi ini daripada peringkat remaja.
“Jadi dengan itu, ianya dapat menimbulkan sifat kesedaran dan pencintaan alam sekitar pada kalangan pelajar ini,” katanya.-PAHANGMEDIA

