Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 27 JULAI 2025 : Badan Bukan Kerajaan (NGO) merupakan rakan strategik Kerajaan Negeri Pahang dalam membangunkan negeri secara inklusif dan seimbang.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, Kerajaan Negeri Pahang amat mengiktiraf sumbangan NGO dalam memperkukuhkan sistem kebajikan masyarakat.
“Saya amat tersentuh melihat sambutan dan kerjasama erat yang ditunjukkan oleh komuniti setempat dalam menjayakan pusat jagaan ini.

“Kehadiran sukarelawan, penyumbang korporat dan komuniti pelbagai latar belakang membuktikan bahawa nilai kemasyarakatan di negeri ini masih utuh dan segar.
“Semangat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing yang terpancar hari ini bukan sekadar retorik, tetapi telah diterjemah dalam bentuk tindakan nyata dalam membina, menyumbang dan menjaga warga emas bersama-sama,” katanya.
Beliau berkata gabungan tenaga dan sumber daripada pelbagai pihak harus terus diperkasa, demi masa depan sosial yang lebih sejahtera dan lestari.

“Saya difahamkan bahawa pusat ini menyediakan penjagaan harian, tempat tinggal yang bersihdan selamat, rawatan kesihatan asas, dan aktiviti riadah serta kerohanian.
“Lebih membanggakan lagi, semua ini dilakukan dengan sentuhan kasih sayang oleh para petugas dan sukarelawan yang berdedikasi.
“Inilah ciri-ciri masyarakat penyayang yang kita impikan. Masyarakat yang tidak hanya melihat kemajuan melalui bangunan pencakar langit, tetapi melalui sikap saling peduli, belas ihsan dan rasa tanggungjawab bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian mewakili YAB Dato’ Sri Diraja Menteri Besar Pahang merasmikan Bangunan Baharu Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Xiang An. -PAHANGMEDIA

