Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 23 JULAI 2025 : Program Ziarah Kasih merupakan usaha menghargai jasa dan khidmat bekas Ahli Dewan Negeri Pahang selain sebagai platform mengeratkan hubungan silaturahim.
Menurut YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, program ini bertujuan untuk mengekalkan hubungan baik yang sedia terjalin diantara Kerajaan Negeri dengan bekas ADN yang pernah menabur bakti di negeri ini.
“Kita berjumpa (Bekas Ahli Dewan Negeri Pahang) untuk merapatkan silaturahim, bertanya khabar, menyampaikan salam YAB. Menteri Besar Pahang supaya hubungan itu terus terjalin.
“Kita faham bahawa mereka merupakan orang yang pernah berada di dalam Dewan dan pernah memberikan sumbangan kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Program Ziarah Kasih Bekas Ahli Dewan Negeri Pahang di sekitar daerah Kuantan, melibatkan lima bekas Ahli Dewan semalam.
Dalam pada itu, beliau juga menyatakan bahawa program ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sehingga semua bekas wakil rakyat dari negeri ini berjaya disantuni.
“InsyaAllah kita akan teruskan program ini. Kita habiskan bekas-bekas wakil rakyat yang boleh kita lawati.
“Perancangan seterusnya, kita akan tengok semasa ke semasa dan kemungkinan untuk lawatan yang akan datang ini kita mungkin tumpukan mereka yang duduk di luar Negeri Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA

