Oleh: Aimi Syafiqa Khairi & Syaherah Azmi
Foto: Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 23 JULAI 2025 : “Saya rasa ini (Program Ziarah Kasih) satu usaha murni yang mempunyai makna dan pengertian yang tinggi terutama sekali bagi kami yang dah bersara,” kongsi Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah, YH. Dato’ Sri Maznah Mazlan.
Menurut YH. Dato’ Sri Maznah, lawatan ini amat bermakna kerana ia mampu memberikan semangat dan menceriakan hatinya dalam saat beliau berhadapan dengan kehilangan suaminya, Allahyarham Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman.
“Kebetulan saya sedang melalui proses bersedih, dalam keadaan berkabung. Jadi, apabila saya dapat panggilan dari sahabat lama saya (YB. Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin) saya rasa teruja dan berterima kasih.
“Kemudian mungkin setengahnya memerlukan sokongan emosi dan juga sokongan dari segi persahabatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Alor Akar.

Menurut bekas Ahli Dewan Negara (Senator), YH. Dato’ Sri Ti Lian Ker, program ini merupakan satu amalan yang baik dan harus diteruskan sebagai bentuk kesinambungan antara mantan ADUN dan Ahli Dewan.
“Saya rasa ini adalah satu amalan yang baik dan harus diteruskan. Saya harap dia jadikan satu tradisi dan tradisi ini yang harus dialu-alukan supaya ada kesinambungan dan perhubungan silaturahim antara mantan ADUN dan Ahli Dewan sekarang supaya hubungan berterusan,” katanya ketika dikunjungi di kediaman beliau di Kubang Buaya.
Dalam pertemuan Program Ziarah Kasih Bekas Ahli Dewan Negeri Pahang tersebut, YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin turut menyampaikan Coffee Table Book Dewan Negeri Pahang kepada kedua-kedua bekas Ahli Dewan Negeri berkenaan. -PAHANGMEDIA

