Oleh : Ain Nadhirah Basha
JERANTUT, 22 JULAI 2025 : Pembinaan pusat pembangunan bersepadu Jerantut Square yang bernilai RM130 juta di daerah ini dilihat dapat menjadi pemangkin baharu ekonomi tempatan.
Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, projek yang dijangka siap pada suku keempat tahun hadapan ini juga dapat dijadikan pusat interaksi komuniti dan keusahawanan.

“Bagi Jerantut Square, saya lihatengikut track record mereka mampu menyiapkan projek ini mengikut masa yang ditetapkan dan saya berharap Jerantut Square ini dapat disiapkan pada tahun hadapan mengikut masa dan jadual.
“Dan ini (projek) memberi manfaat kepada penduduk-penduduk di daerah Jerantut. Pelaburannya RM130 juta dan manfaatnya banyak, ada pejabat, kedai, dan syarikat perniagaan seperti Coffee Bean & Tea Leaf dan banyak lagi,” katanya.
Beliau berkata projek pembangunan bersepadu hasil usahasama Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan Kumpulan Jaya Depan Sdn. Bhd. ini juga dilihat dapat menaikkan nama daerah ini dalam menerima kehadiran pelancong.
“Projek ini turut merangkumi stesen pengecas kenderaan elektrik (EV), panel solar pada bangunan, serta ciri-ciri mesra alam yang sejajar dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Ia turut membuka 1,000 pekerjaan secara langsung dan 5,000 pekerjaan secara tidak langsung dalam sektor pelancongan, perkhidmatan dan peruncitan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sambutan 60 TahunPerbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Perasmian Pahang Rest House @ Jerantut,dan Pelancaran Jerantut Square di Rest House Jerantut.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Haji Fadzilla Salleh; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Tuan Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi; dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), YH. Dato’ Mohd Faizal Jaafar.
Beliau dalam masa yang sama turut mengalu-alukan kedatangan pelancong ke daerah Jerantut untuk menginap di Pahang Rest House @ Jerantut di bawah kendalian PKNP yang telah berwajah baharu. -PAHANGMEDIA

