Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 16 JULAI 2025 : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang telah berjaya merampas minyak diesel bernilai RM193,195 dalam Ops Tiris 2025 di Indera Mahkota 8 hari ini.
Menurut satu kenyataan media oleh Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Pahang, Encik Mohd Hafiz Ramli, lokasi berkenaan disyaki telah menyimpan minyak diesel tanpa permit yang sah dipercayai untuk tujuan penyimpanan dan penghantaran.
Beliau berkata operasi ini merupakan hasil daripada risikan yang telah dijalankan sebelum ini terhadap lokasi berkenaan dan pihaknya turut menemui dua buah kereta membawa muatan tong berisi minyak diesel.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang telah menjalankan satu operasi penguatkuasaan khas di bawah Ops Tiris 2025 terhadap satu lokasi yang disyaki menyimpan minyak diesel tanpa permit yang sah.
“Berdasarkan dokumen yang dikemukakan, premis ini tidak mempunyai permit menyimpan minyak diesel di lokasi tersebut, sekali gus menimbulkan syak wajar wujudnya pelanggaran undang- undang di bawah (a) Peraturan 21(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu menyimpan barang kawalan minyak diesel selain di tempat yang dilesenkan; dan (b) Seksyen 20(1), Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu mengalih barang kawalan dari lokasi berlesen ke lokasi tidak berlesen.

“Sitaan keseluruhan dianggarkan bernilai RM193,195. Daripada jumlah tersebut, skid tank dan minyak diesel yang disita dianggarkan bernilai RM53,195, manakala dua buah motokar yang terlibat turut disita dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM140,000. Selain itu, dokumen-dokumen berkaitan turut disita bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, pihak KPDN Pahang turut menegaskan bahawa pihak kementerian tidak akan berkompromi terhadap pihak yang melanggar peruntukan undang-undang berkaitan barang kawalan seperti minyak diesel.
“Tindakan tegas akan diambil demi memastikan keselamatan pengguna dan kestabilan rantaian bekalan di pasaran.
“Selaras dengan inisiatif KITA GEMPUR, KPDN Pahang ingin mengingatkan semua pihak bahawa pemilikan dan pengedaran barang kawalan seperti minyak diesel tanpa lesen yang sah adalah satu kesalahan serius di bawah undang-undang negera.
“Tindakan tegas akan terus diambil bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan di perairan negara,” katanya.
Beliau turut meminta orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan oleh peniaga, khususnya yang melibatkan penyelewengan atau pelanggaran perundangan berkaitan barang kawalan melalui pelbagai saluran aduan rasmi KPDN. -PAHANGMEDIA

