Oleh : Aimi Syafiqa Khairi & Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 16 JULAI 2025 : Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang bagi Penggal Ke-15, dijadualkan berlangsung pada 14 Ogos ini.
Menurut YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, sidang tersebut diadakan bagi memastikan tempoh antara dua mesyuarat DUN tidak melebihi enam bulan, selaras dengan peruntukan yang ditetapkan.
“Kita nak pastikan bahawa dia (Mesyuarat Dewan Negeri) tidak menjangkaui enam bulan. Mesyuarat Dewan ini dia mesti sebelum enam bulan.
“Sekiranya tidak buat mesyuarat lepas enam bulan, Mesyuarat Dewan Negeri sendirinya terbubar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Persiapan Perkara Bil. 2/2025 Sempena Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke -15 bertempat di Bilik Gerakan Sri Pahang, Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), di sini, hari ini.
Beliau berkata, mesyuarat ini akan berlangsung selama sehari dan hanya memberi tumpuan kepada pembentangan serta kelulusan usul, rang undang-undang dan laporan-laporan yang berkaitan.
“Mesyuarat ini tidak ada perbahasan, kita hanya meluluskan dan menimbangkan rang undang-undang ataupun usul dan juga kertas-kertas laporan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa siaran langsung mesyuarat ini akan disediakan dan dijangka akan dilakukan di semua platform media sosial.
“Dewan Undangan Negeri Pahang akan ‘live’ (siaran langsung) dan malah kita nak perbesarkan lagi ‘live’. Mungkin bukan sahaja Facebook, kita nak cuba dan bincang dengan unit media untuk kita buat di Tiktok dan Instagram,” katanya. -PAHANGMEDIA

