Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 08 JULAI 2025 : Tiga pelajar Sekolah Rendah Tahfiz Negeri Pahang memperoleh pingat emas dan Hadiah Kecemerlangan Penerbit UMPSA melalui rekaan Sistem Paparan Semi-Holografik Interaktif yang dikenali sebagai Halaqah Vision.
Tiga pelajar tersebut iaitu Arissa Safia Muhamad Aizat, Shaheed Adam Shahrill Affiz, dan Yusuf Nufayl Muhammad Izhar, yang merupakan pelajar Tahun 3 telah berjaya membangunkan sistem berkenaan yang merupakan sebuah inovasi direka khas untuk menyokong pembelajaran jarak jauh secara masa nyata.
Mereka memperoleh pingat emas dan Hadiah Kecemerlangan Penerbit UMPSA, Cluster Smart Technology and System dalam Pameran Creation, Innovation, Technology and Research Exposition (CITREX) 2025 anjuran Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang berlangsung pada 18 hingga 19 Jun lepas di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang.
Menurut Yusuf Nufayl, matlamat utama pembangunan sistem Halaqah Vision adalah untuk merapatkan jurang pendidikan khususnya bagi pelajar luar bandar dengan pusat pembelajaran bergerak di mana ia akan menghubungkan pelajar dan guru pakar dari seluruh dunia tanpa halangan lokasi atau kos tinggi.
“Kami mahu menambah ciri-ciri bunyi yang lebih jelas, kesan 3D dan fungsi sentuhan untuk menjadikannya lebih interaktif. Kami juga berharap ia boleh digunakan dalam subjek lain seperti Sains, Bahasa dan STEM.
“Malah, kami berhasrat mahu bekerjasama dengan syarikat berkaitan pendidikan untuk membawa Halaqah Vision ke pasaran yang lebih luas, sekali gus membuka peluang pembelajaran baharu kepada pelajar di seluruh negara,” ujarnya.
Menurut Arissa Safia, sistem ini direka untuk menampilkan guru dalam bentuk hologram secara langsung di dalam kelas, dan membolehkan pelajar merasai seperti menghadiri sesi pembelajaran bersemuka yang sebenar.
“Kami selalu menerima guru jemputan daripada luar negara ke sekolah tetapi kos bagi guru jemputan dari luar negara itu tinggi. Jadi kami cipta sistem ini supaya guru boleh mengajar dari jauh, tapi nampak seperti ada di depan kami,” jelasnya.
Tambah Shaheed Adam pula, sistem ini lebih murah berbanding sistem holigrafi komersial namun tetap memberi kesan visual realistik kepada pelajar.
“Siatem ini menggunakan kombinasi mini PC, projektor, kamera web dan panel akrilik dengan filem lut sinar, membolehkan imej guru dipancarkan secara masa nyata dari mana-mana lokasi di dunia.
“Kos penghasilan Halaqah Vision hanyalah sekitar RM1,500. Ia jauh lebih murah berbanding sistem holografi komersial, namun tetap memberi kesan visual realistik dan interaktif,” katanya.
Projek ini telah bermula pada awal tahun lepas dan disiapkan dalam bentuk prototaip pada pertengahan tahun 2025, sebelum diuji dalam bilik darjah sebenar dengan dibantu oleh pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) serta Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) yang diketuai oleh Pensyarah FTKMA, Dr. Muhammad Izhar Ishak.
Dr. Muhammad Izhar turut melahirkan rasa bangga diatas pencapaian para pelajar membangunkan projek ini dalam tempoh beberapa bulan sahaja dan ia membuktikan inovasi tidak mepunyai had usia.
“Usia sembilan tahun bukan halangan untuk mencipta perubahan besar dalam landskap pendidikan digital masa kini. Lebih menarik, projek ini bukanlah kejayaan pertama mereka.
“Sebelum ini, pasukan sama telah memenangi pingat emas dalam Pameran CITREX 2024 menerusi projek sistem automasi akuaponik menggunakan LEGO Robotics dan turut menerima Anugerah Khas dalam Pahang Trex Innovation Exhibition 2024,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

