Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUALA LUMPUR, 8 JULAI 2025 : Menara Kuantan 188 sekali lagi bakal mencuri tumpuan dengan penganjuran Pesta Kuantan 188 yang akan bermula pada 25 hingga 27 Julai ini dengan jangkaan kehadiran lebih 100,0000 pengunjung.
Program anjuran Infiniti Indah Sdn. Bhd. (Kuantan 188), anak syarikat kepada Hospitality 360 Sdn. Bhd. dan cabang hospitaliti MAA Group Berhad ini dijangka menjadi edisi paling meriah sejak penganjurannya dimulakan tiga tahun lalu.
Lebih istimewa, edisi tahun ini juga bakal menampilkan 11 acara utama, termasuk beberapa acara baharu yang belum pernah diadakan sebelum ini selain pertunjukan konsert dari artis tempatan seperti Tomok, Dayang Nurfaezah, Ella dan Akim & The Majistret.
Menurut Pengarah Urusannya, Dato’ Zulkifli Mohamad, pesta tersebut merupakan inisiatif penting dalam memperkasakan sektor pelancongan negeri, khususnya di Pantai Timur, sekali gus memberi peluang kepada rakyat dan pelancong untuk meraikan Hari Keputeraan bersama Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Katanya, penganjuran tahun lalu telah berjaya menarik hampir 100,000 pengunjung dan pihaknya optimis jumlah tersebut akan terus meningkat pada tahun ini, selaras dengan penambahan acara dan elemen teknologi terkini yang diperkenalkan.
“Tahun ini, ada perbezaannya. Perbezaannya adalah lebih banyak acara dan acara-acara yang melibatkan teknologi baharu seperti pertunjukkan dron yang tak pernah lagi dilakukan dan kita buat di Kuantan,” katanya ketika ditemui dalam satu sidang media yang diadakan di Ramada Suites by Wyndham Kuala Lumpur City Centre, di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden Kumpulan Hospitality 360, Dato’ Sri Omar Naresh Mohan dan Penolong Pengarah Kanan Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim.
Tambahnya lagi, penganjuran pesta ini dijangka akan turut membawa impak positif kepada ekonomi setempat.
“Saya sendiri bertanya kepada pengusaha tahun lepas, ada yang menjual sate dan sebagainya, satu hari Alhamdulillah mereka boleh mencecah jualan RM10,000.
“Inilah yang kita kita boleh katakan bahawa acara ini boleh memberikan kitaran sosio-ekonomi yang bagus terutamanya untuk orang Kuantan dan amnya kepada rakyat Pahang,” ujarnya.
Menurutnya lagi, selain penganjuran Pasar Sera dengan hampir 80 buah gerai, acara Cars & Coffee yang menghimpunkan 120 buah kereta mewah turut memberi peluang kepada anak-anak yatim khusunya untuk merasai pengalaman menaiki kenderaan eksklusif tersebut, sekali gus menyuntik semangat dan kegembiraan dalam kalangan mereka.
Antara acara lain yang turut mewarnai pesta terbabit termasuk larian K188 Towerthon, aktiviti Base Jump dari Menara Kuantan 188, serta perlumbaan Royal Pahang F3000 Power Boat dan Royal Pahang Dragon Boat Regatta 2025 yang akan berlangsung di Sungai Kuantan.
Dato’ Zulkifli turut menyatakan harapan untuk Pesta Kuantan 188 disenaraikan dalam Kalendar Tahun Melawat Malaysia 2026 sebagai salah satu acara pelancongan utama negara. -PAHANGMEDIA

