Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
BENTONG, 3 JULAI 2025: Pesakit jantung dan wakil institusi pengajian tinggi (IPT) antara penerima sumbangan Kerajaan Negeri Pahang dalam Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Kerajaan Negeri yang berlangsung di Lobi Utama Majlis Perbandaran Bentong, di sini hari ini.
Mohamad Nor Mat Yassim, 65, yang menghidap penyakit jantung kronik, berkata sumbangan yang diterima amat bermakna dalam meringankan beban kos rawatan yang perlu dijalaninya secara berkala.

“Saya telah dua kali menjalani pembedahan pintasan jantung (bypass) iaitu pada tahun 2014 dan 2021. Sekarang hanya perlu menjalani rawatan lanjut di Hospital Bentong.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih, khususnya kepada Tok Wan (YAB Menteri Besar Pahang) dan Kerajaan Negeri kerana memberikan sumbangan ini. Selain itu, saya harap Negeri Pahang terus maju dan rakyatnya dapat menikmati apa yang saya dapat pada hari ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan.
Sementara itu, Nik Amalena Najebah Nik Azman, yang merupakan Penasihat Program Kuiz Perakaunan Negeri Pahang 2025 anjuran Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah (KSHAS), Rompin, turut menerima sumbangan bagi menjayakan program berkenaan.

Menurutnya, kuiz yang diadakan pada April lalu berjaya menarik penyertaan lebih 600 pelajar sekolah menengah dari seluruh negeri Pahang.
“Sumbangan ini untuk menampung perbelanjaan program ini. Jadi kami sangat berterima kasih kepada Pejabat Menteri Besar Pahang dan YAB. Menteri Besar Pahang atas sumbangan dan sokongan yang diberikan dalam menjayakan kuiz kita.
“Semoga program ini boleh menjadi satu wadah yang bagus untuk pelajar sekolah dan UNITEN,” katanya. -PAHANGMEDIA

