Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 03 JULAI 2025 : Kesemua sembilan menara komunikasi termasuk lapan menara pemancar yang rosak akibat vandalisme di Dong, Raub telah berjaya dipulihkan petang ini.
Menurut satu hantaran media sosial oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan CelcomDigi telah menggerakkan kerja pemulihan dan penggantian peralatan yang rosak.
“Susulan kejadian vandalisme semalam, pihak Celcomdigi dan MCMC telah menjalankan siasatan lanjut, menggerakkan kerja-kerja pemulihan dan penggantian peralatan yg rosak.
“Hasil siasatan lanjut mendapati beberapa peralatan kritikal bagi transmisi komunikasi telah mengalami kerosakan berpunca dari jenayah vandalisma. Kerosakan ini menyebabkan kegagalan kepada proses transmisi dan rangkaian di menara ‘collector’ di Dong dan juga kepada lapan menara lain.

“Setakat jam 5:30 petang, kesemua sembilan menara telah berjaya dipulihkan iaitu yang terletak di Pekan Dong, Kampung Gesing, Kampung Chendra Chincin, Kampung Tanjung Putus, Kampung Bukit Pampong, Kampung Jelu, Kampung Gali Hilir, Kampung Hulu Temau, dan Sungai Ruan,” katanya.
Beliau berkata pihak CelcomDigi kini giat memulihkan kembali rangkaian telekomunikasi yang mengalami gangguan di kawasan terlibat dan menggantikan peralatan yang rosak.
“Terkini, pihak CelcomDigi sedang giat memulihkan kembali rangkaian dengan menggantikan peralatan yang rosak di samping membuat penambahbaikan dan pemulihan kepada menara berkenaan,” katanya.
Beliau turut melahirkan penghargaan kepada pihak MCMC Negeri Pahang dan CelcomDigi di atas tindakan dan usaha dalam memastikan perkhidmatan telekomunikasi dapat dipulihkan kembali dan rakyat mendapat manfaat daripadanya. -PAHANGMEDIA

