Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
BENTONG, 3 JULAI 2025: Kerajaan Negeri Pahang hari ini menyalurkan bantuan berjumlah hampir RM200,000 kepada 13 penerima sempena Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang yang berlangsung di Lobi Utama Majlis Perbandaran Bentong.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penyaluran bantuan ini merupakan sebahagian daripada janji kerajaan untuk mengembalikan hasil negeri kepada rakyat setelah berjaya mengurus tadbir negeri dengan baik.
“Kerajaan Negeri boleh menyalurkan bantuan ini kerana kita uruskan negeri kita dengan baik dan pendapatan hasil kita meningkat. Dan sebagaimana yang telah dijanjikan kita kembalikan kepada rakyat.
“Saya harap ianya dapat membantu, tetapi dalam masa yang sama, apabila sampai masa nanti, kita (rakyat) bantulah kembali kerajaan,” katanya ketika berucap bersempena majlis berkenaan.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut menyeru agar rakyat tidak mudah terpengaruh dengan sentimen negatif yang cuba dimainkan pihak tertentu yang mempertikaikan kestabilan kerajaan negeri.
“Tetapi apa yang penting bagi kita sebagai rakyat adalah apabila kita melihat negeri kita itu stabil… memiliki kedudukan kewangan yang baik.
“Semalam diumumkan kedudukan KDNK Negeri Pahang antara empat negeri yang terbaik mengatasi pertumbuhan nasional. Perkara beginilah rakyat kena tahu,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan penerima agar membelanjakan bantuan yang diterima dengan sebaiknya kerana wang tersebut adalah hasil rakyat dan tertakluk kepada pemantauan oleh Jawatankuasa Audit dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Ini bukan duit saya, ini duit rakyat… saya hanya menguruskan dan diiringi bersama rakan-rakan (Ahli Majlis Kerajaan Negeri) supaya kedudukan kewangan negeri diuruskan dengan baik,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat agar terus mempertahankan Kerajaan Negeri Pahang yang sedia ada dalam memastikan pentadbiran negeri berjalan dengan baik.
“Mesej saya, kita sama-sama pertahankan Negeri Pahang kerana kerajaan dan penjawat awam yang ada pada hari ini telah membuat yang terbaik untuk kita dan kita kekalkan dan pertingkatkan lagi prestasi Negeri Pahang,” ujarnya lagi. -PAHANGMEDIA

