Oleh : Norhafizan Zulkifli
BERA, 03 JULAI 2025 : Pemegang Kad Kesihatan Kasih Makmur di Felda Kumai, di sini menzahirkan rasa terharu atas kehadiran rombongan Program Jelajah Klinik Tok Wan (Siri Jelajah Felda) semalam.
Program jelajah siri pertama itu disertai Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan.
Bagi Che Mass Jaafar, 72, kehadiran rombongan berkenaan amat menyentuh hati berikutan keprihatinan Kerajaan Negeri yang sentiasa sudi turun padang menyantuni golongan sepertinya.
“Makcik ada sakit darah tinggi dan kolekstrol selain sakit katarak. Baru lepas pembedahan buang selaput dalam mata. Bulan tujuh ini akan buat pembedahan sebelah mata lagi.
“Terima kasih banyak-banyak kepada yang datang, kepada Yang Berhormat (YB), kepada yang bagi sumbangan, terima kasih banyak-banyak. Selama ini tak pernah terima kunjungan macam ini… makcik rasa sedih, terharu jugalah. Datang rumah bagi bantuan… terima kasih banyak-banyak,” katanya.

Sementara itu, Rosliza Hamzah, 57, isteri kepada Haidzir Yahaya, 67, berkata suaminya disahkan menghidap kanser usus kira-kira enam bulan lalu selepas mengalami simptom berak berdarah.
“Dia (suami) tak sakit… puncanya berak berdarah enam bulan lepas. Lepas itu dia periksa dan disahkan kanser usus.
“Terima kasih atas sumbangan yang diberikan. Akan digunakan untuk rawatan. Dalam sebulan sekali akan dapatkan rawatan hospital,” katanya.

Turut menerima manfaat, Siti Asiah Md Husin, 70, yang menjaga anak bongsunya, Luqman Ishak, 41, yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) sejak kecil.
“Dia (Luqman) lahir normal tetapi mula kesan masa darjah satu sebab tak kenal ABC. Dia sekarang tidak boleh berjalan sejak 2006.
“Program Jelajah Klinik Tok Wan bagus sebab anak tak boleh berjalan, bila doktor datang rumah, memang mudahkan anak. Dapat bekal ubat semua.
“Terima kasih kepada kerajaan negeri dan YAB. Menteri Besar atas inisiatif Kad Kesihatan Kasih Makmur memudahkan banyak urusan,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

