Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 24 JUN 2025 : Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di seluruh negeri diingatkan supaya menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab serta menjadi penghubung yang berkesan antara masyarakat dan agensi kerajaan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, mereka perlu menjadi mata dan telinga kerajaan di peringkat akar umbi selain memastikan segala permasalahan yang berlaku di kampung dilaporkan kepada pihak berkaitan.

“Saya dalam amanat saya beritahu kepada mereka supaya menjalankan tugas dengan baik, jaga kampung masing-masing, menjadi mata dan telinga kerajaan, jadi penghubung kepada jabatan.
“Saya harap apa permasalahan di kampung, mereka perlu beritahu kepada wakil rakyat, kepada penghulu, supaya dapat sampaikan kepada pihak atasan untuk kita ambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Amanat dan Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi JPKK Negeri Pahang Sesi 2024-2025 bertempat di Geo Resort & Hotel, di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri oleh YB Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Haji Fadzilla Salleh serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Dalam pada itu, menerusi Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) Kluster Umum, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta ringgit sebagai insentif kepada Pengerusi JPKK, JPKK Orang Asli (JPKKOA) dan Tok Batin serta Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR).

YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, setiap daripada mereka ini akan menerima RM500 ringgit melibatkan 1,028 orang dengan peruntukkan berjumlah RM514,000.
“Tujuan peruntukan ini adalah untuk memudahkan mereka menjalankan tugas seperti mengisi minyak motor, membeli kertas, pensel, pen dan menjalankan kerja-kerja berkaitan di pejabat.

Beliau dalam pada itu menasihatkan kepada mereka yang dilantik agar dapat menjalankan tugas dengan baik dan adil.
“Menjadi ketua, jangan pilih kasih jangan ada kroni dan melihat semua masalah itu secara mikro dan sampaikan permasalah kepada pihak atasan supaya dapat mengambil tindakan untuk diselesaikan,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

