Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN , 18 JUN 2025 : Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Pahang telah berjaya melaksanakan 225 penyampaian dokumen pengenalan diri kepada golongan berisiko di negeri ini dalam tempoh tiga tahun bermula 2023.
Menurut Pengarah JPN Negeri Pahang, YBrs. Encik Mohammad Abdullah, kesemua ini disampaikan dalam Program Mekar Ihsan yang memfokuskan kepada golongan yang mempunyai masalah kesihatan dan keselamatan.
“Sepanjang pelaksanaan program dari tahun 2023 sehingga kini, JPN Pahang telah merekodkan prestasi memberangsangkan. Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Unit MEKAR JPN Pahang yang menyasarkan kumpulan rentan seperti warga emas, pesakit terlantar, individu OKU dan mereka yang berdepan kekangan lokasi atau mobiliti untuk hadir ke pejabat JPN.
“Sepanjang tahun 2023, sebanyak 86 permohonan Mekar Ihsan telah dilaksanakan, pencapaian ini terus dipertingkat pada tahun 2024 dengan 99 permohonan Mekar Ihsan, dan bagi tahun semasa sehingga Jun 2025, JPN Pahang telah berjaya menyantuni 40 pemohon di bawah program ini.
“Program Mekar Ihsan ini merupakan salah satu program di bawah inisiatif Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) yang mana memperincikan perkhidmatan kepada golongan yang berisiko terutama kepada warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU), pesakit terlantar, pesakit mental, pesakit kronik dan mereka yang tiada keupayaan untuk datang ke pejabat JPN atas faktor kesihatan atau keselamatan,” katanya.
Tambah beliau, JPN Pahang juga menghasilkan inivasi dalaman iaitu sistem permohonan menggunakan kod QR Mekar yang memudahkan program Mekar Ihsan ini di mana proses pemadanan maklumat, pendaftaran dan penyampaian perkhidmatan dapat dijalankan dengan lebih cekap dan teratur.
Beliau berkata dalam tempoh sama juga, pihaknya telah melaksanakan program Mekar Komuniti dan Jejak Identiti melalui pendekatan secara turun padang menjadikan lebih 330 individu telah menerima manfaat terus hasil pelaksanaan program-program ini.
“Bagi tahun 2023, sebanyqk 24 program Mekar Komuniti dan 27 permohonan Jejak Identiti telah disempurnakan. Bagi tahun 2024, 37 program Mekar Komuniti dan 5 permohonan Jejak Identiti telah dilakukan. Manakala bagi tempoh sehingga kini bagi tahun ini, 13 program Mekar Komuniti dan 3 permohonan Jejak Identiti berjaya diselesaikan.
“Program Jejak Identiti merupakan perkhidmatan bagi mengenalpasti indentiti individu yang mempunyai masalah mengingati nombor pengenalan diri dan individu yang tiada dokumen pengenalan diri. Program ini juga memfokuskan kepada individu yang berada di pusat tahanan, pusat jagaan orang tua, dan individu yang dimasukan ke hospital mental dan hospital tetapi diragui status kewarganegaraanya.
“Bagi Program Mekar Komuniti pula ia merupakan program melibatkan komuniti yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan, badan berkanun, Badan Bukan Kerajaan (NGO), dan persatuan penduduk setempat. Contohnya seperti Program Pendaftaran MyTentera, Program Pendaftraan MyPolis, Pusat Tranformasi Bergerak, Program Bersama Jabatan Penjara, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Karnival Kerjaya, Hari Bertemu Pelanggan, dan sebagainya,” katanya.
Menurut beliau, program MEKAR yang memberi tumpuan kepada jaminan akses bagi dokumen pengenalan diri yang sah untuk semua lapisan masyarakat amat penting dalam memastikan mereka tidak mengalami keciciran dalam pelbagai aspek kehidupan.
“Ini penting dalam memastikan mereka tidak tercicir daripada sistem pendidikan, perkhidmatan kesihatan serta perlindungan sosial kerajaan.
“Selain daripada itu, Mekar Pahlawan dan Mekar Diaspora turut diwujudkan bagi memberikan perkhidmatan khusus pendaftaran MyTentera dan MyPolis bagi anggota keselamatan negara, dan rakyat Malaysia di luar negara yang menghadapi masalah memperbaharui dokumen pengenalan diri.
“Usaha ini sejajar dengan prinsip inklusif Malaysia MADANI dan selaras dengan slogan Rakyat Di Hati JPN yang menjadi asas kepada perkhidmatan berteraskan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata pihaknya juga akan terus komited dalam menjalankan aktiviti turun padang ini bagi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan yang terbaik.
“Untuk maklumat lanjut mengenai program JPN atau untuk membuat janji temu, orang ramai boleh menghubungi Unit Komunikasi Korporat JPN Pahang di talian 09-531 888/880 atau emel ke ppppahang@jpn.gov.my,” katanya. -PAHANGMEDIA

