Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 14 JUN 2025 : Program China-Malaysia High-Speed Railway & New Energy Vehicle Culture Study Camp 2025 anjuran Akademi Menara Gading (AMG), Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah berlangsung dengan jayanya di Liuzhou, China.
Majlis pembukaan program telah disempurnakan bersama Presiden Liuzhou Railway Vocational & Technical College (LRVTC) yang turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama strategik antara LRVTC dengan 11 buah sekolah menengah di Pahang.

Sekolah yang terlibat ialah SMK Sultan Abu Bakar, SMK Abdul Rahman Talib, SM Sains Sultan Haji Ahmad Shah, SMK Sultanah Hajjah Kalsom, SMK Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad, SMK Tengku Afzan, SMK Pandan, SMK Bukit Rangin, SMK Semambu, SMK Gambang dan SMK Sungai Soi.
Seramai 30 pelajar AMG 2.0 YASA-Next Generation Accelator (AMG Next-Gen), 12 pengetua sekolah, empat pegawai dari YASA dan dua pegawai dari UMPSA terlibat dalam program ini yang diketuai oleh Pengurus AMG:NextGen, YH. Lt. Kol. Dato’ Prof. Ir. Ts. Dr Ahmad Ziad Sulaiman, bersama Pengurus Besar YASA, Tuan Haji Mohd Fakhrul Islam Juhali.

Program selama lima hari ini memberi pendedahan secara langsung kepada peserta mengenai teknologi rel berkelajuan tinggi, kenderaan elektrik (EV), kenderaan hidrogen dan kecerdasan buatan (AI) melalui lawatan ke kilang pemasangan kenderaan elektrik Wuling, serta makmal teknikal rel dan tenaga baharu di Training Base Railway and New Energy Labs.
Peserta turut diberi peluang mengendalikan simulator tren laju, mempelajari tarian naga bersama pelajar LRVTC, serta mempersembahkan tarian tradisional Pahang semasa majlis sambutan rasmi. Mereka juga dibawa melawat ke beberapa sekolah di sekitar Liuzhou dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang pendidikan.

YH Lt Kol Dato’ Prof Ir Ts Dr Ahmad Ziad berkata, program ini antara lain bertujuan memperkasa pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), seiring usaha Malaysia membangunkan modal insan berkemahiran tinggi dalam sektor pengangkutan dan teknologi masa hadapan seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
“Program ini bukan sahaja menambahkan ilmu dan kemahiran teknikal, bahkan membina kepimpinan, keyakinan diri serta semangat kerjasama dalam kalangan pelajar melalui interaksi antarabangsa dan pertukaran budaya,” katanya.
Tambah beliau, pengalaman antarabangsa yang diperoleh bakal menjadi motivasi kepada pelajar untuk terus cemerlang dalam akademik dan kokurikulum serta membuka ruang untuk mengejar peluang pembelajaran global. -PAHANGMEDIA

