Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 13 JUN 2025 : Pihak pemaju bagi Projek Rumah Makmur Fasa 1 di Kampung Tiram memberi komitmen projek ini akan dapat disiapkan pada Jun tahun 2026.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, ini memandangkan kemajuan pembinaan bangunan rumah telah pun 60 peratus siap.
“Physically lebih kurang 60 peratus untuk bangunan ni, cuma kita campurkan dengan infrastruktur jadi purata dia (kemajuan projek) 44 peratus. Tapi bangunan dah hampir 60 peratus disiapkan. Nanti ada nak buat jalan dan lain-lain lagi.

“Projek yang kita lawati ini kita dapati bahawa projek ini telah lewat siap, projek sakit. Jadi kita perlu pastikan projek ini dapat disiapkan dan saya telah diberikan komitmen daripada pihak pemaju yang projek ini disiapkan pada Jun 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan mengejut di Projek Rumah Makmur di Kampung Tiram hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP), YH. Dato’ Ahmad Islanizam A. Halim; dan Pengarah Urusan Nilaitek, Encik Jay Teh Tze Jin.
Menurut YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin, pihak pemaju juga telah dikenakan penalti kewangan (LAD) dan ia akan diteruskan sehingga projek ini selesai.

Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang merasa berdukacita di atas kelewatan projek perumahan ini yang secara tidak langsung memberi kesan kepada para pembeli rumah.
“Kerajaan Negeri tak nak pembeli-pembeli ini dibebankan dan projek ini adalah projek Kerajaan, dan saya tak nak pemaju mengambil sikap yang lewa,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata sehingga kini sebanyak 8,592 unit rumah melibatkan 48 projek PR1MA Pahang dan Rumah Makmur telah berjaya memperolehi Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) di seluruh negeri ini.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang juga mensasarkan 946 unit rumah melibatkan tujuh projek dapat disiapkan pada tahun ini. -PAHANGMEDIA

