Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
TEMERLOH, 13 JUN 2025 : Mangsa-mangsa ribut yang melanda beberapa kawasan di daerah ini baru-baru ini meluahkan rasa syukur dan terharu apabila menerima kurnia daripada Kebawah Duli Yang Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Pengurniaan terbabit disampaikan baginda dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Dewan Orang Ramai Kampung Paya Luas hari ini, melibatkan 210 mangsa yang terjejas akibat kejadian ribut pada Isnin lalu.

Menurut Nor Azian Ibrahim, 37, kurnia yang diterima hari ini amat membantu dalam meringankan beban keluarganya selepas kejadian ribut yang melanda.
“Alhamdullilah bersyukur dapat kurnia boleh sikit-sikit ringankan beban kami sekeluarga, saya pun sebenarnya tak sangka dapat bantuan jadi alhamdulillah lah,” katanya.
Menurut Nor Azian, rumahnya mengalami kerosakan teruk apabila beberapa pokok tumbang di hadapan rumah, manakala bumbung di bahagian ruang tamu dan dapur diterbangkan oleh angin kencang.
“Dalam pukul enam petang, saya dengan anak-anak dalam rumah dengar macam angin kuat dan anak-anak semua berlari kedapur masa kejadian tu.
“Anak saya cakap atap semua dah terbang dan saya tengok dekat luar, pokok semua habis tumbang dan angin masa tu memang kuat sekali dengan hujan,” katanya.

Sarom Ahmad, 68, seorang lagi mangsa, turut berkongsi pengalaman sewaktu kejadian ribut melanda rumahnya.
“Masa kejadian itu, saya ada dalam rumah. Dengarlah angin kuat itu. Tiba-tiba bila keluar, saya tengok atap semua dah hilang dah.
“(Ribut) Kena dekat bilik belah dapur. Mula-mula tak perasan benda tu bila atap dah terbang, angin pula tak berhenti. Saya tengok bilik dah banjir dah,” katanya. -PAHANGMEDIA

