Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
TEMERLOH, 13 JUN 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan mengurniakan sumbangan kepada 210 ketua isi rumah terlibat dalam kejadian bencana ribut yang melanda empat mukim di daerah ini Isnin lalu.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan.

Paduka Baginda menzahirkan simpati atas kejadian yang menimpa rakyat Temerloh khususnya di empat mukim terbabit iaitu Mukim Perak 2, Mukim Bangau, Mukim Mentakab 1 dan Mukim Mentakab 2.
“Kejadian ini agak terkejut juga kerana ianya berlaku selepas sahaja kita menyambut Hari Raya Aidiladha. Sudah tentu kesedihan dirasai kerana tidak dapat menyambut lebaran dalam keadaan sempurna.
“Namun, ini semua adalah kehendak Allah SWT, kita jangan berasa marah, semua itu adalah ujian Allah SWT, pastu ada hikmah disebaliknya. Setiap musibah pasti ada rahmatnya. Kita harus bersabar sahajalah.
“Kejadian cuaca sebegini boleh berlaku di mana sahaja. Alhamdulillah, setakat ini tiada kehilangan nyawa daripada kejadian yang menimpa ini,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut bertitah agar segala bentuk bantuan dan sumbangan kepada mangsa ribut dapat disegerakan.

“Saya difahamkan pihak kerajaan telah menghulurkan pelbagai bantuan. Saya dimaklumkan tadi RM300 sudah disalurkan. Masih ada baki RM700. Dan saya harap ini dapat disalurkan secepat mungkin oleh pihak kerajaan.
“Dan kerajaan juga menyediakan RM5,000 untuk membaiki segala kerosakan rumah dan saya harap ini juga dapat dicepatkan,” titah Paduka Baginda lagi.
Dalam masa yang sama, Paduka Baginda turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha membantu mangsa, khusunya pihak Pejabat Daerah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan lain-lain lagi selain turut mengalukan sebaaang bentuk bantuan yang dihulurkan badan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, Pegawai Daerah Temerloh, Dato’ Khairur Rizal Ramli dalam sembah taklimat memaklumkan antara bantuan awal yang diberikan kepada mangsa termasuklah bantuan segera minima RM300 Kerajaan Negeri melalui Tabung Malapetaka Daerah (TMD), kit barangan leperluan oleh Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kit barangan makanan sumbangan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Dalam kesempatan itu, Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada waris dua mangsa kemalangan jalan raya yang berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Tengku Ismail, di sini, pada Rabu lalu.
“Saya juga berasa terkejut dan berdukacita atas kematian dua anak kita yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya,” titah Paduka Baginda lagi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, dua remaja, Nur Irdina Shaffiya Muhammad Nazri, 18, dan Aneez Irdiena Sofya Khairul Azman, 18, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta yang melanggar lampu isyarat. -PAHANGMEDIA

